Bersepadu jaga persekitaran Taman Rekreasi Sungai Basong

Bersepadu jaga persekitaran Taman Rekreasi Sungai Basong

Oleh Sim Y. H.

 

TUTONG, 12 Jun – Dengan hasrat untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai sikap bertanggungjawab menjaga kebersihan persekitaran, Jabatan Daerah Tutong bersama pelbagai agensi telah mengadakan Program Kempen Bersepadu di Taman Rekreasi Sungai Basong, Tutong, kelmarin.

Kempen yang melibatkan pelbagai agensi termasuk Jabatan Daerah Tutong; Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi; Jabatan Kerja Raya; Angkatan Bersenjata Diraja Brunei; Polis Diraja Brunei; Jabatan Bomba dan Penyelamat Operasi E Tutong; Jabatan Perhutanan Tutong; para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung; ahli-ahli majlis perundingan mukim dan kampung serta ahli-ahli Sukarelawan Daerah Tutong, telah membabitkan kerja-kerja pembersihan kawasan taman herba serta membaik pulih sebahagian replika rumah-rumah budaya masyarakat Daerah Tutong di taman berkenaan.

Turut hadir menyertai kerja-kerja kempen bersepadu itu ialah Pegawai Daerah Tutong, Awang Wardi bin Haji Mohammad Ali.

Kawasan taman herba dan rumah-rumah budaya berkenaan juga dikenal pasti sebagai sebuah taman yang berpotensi untuk dikembangmajukan menjadi tempat tumpuan pelancong dalam Program Destinasi Tutong.

Melalui program itu, pelbagai perancangan telah dilakukan antaranya pengisian persembahan-persembahan kebudayaan dan pameran barang-barang kelengkapan masyarakat Daerah Tutong dengan kerjasama daripada pemimpin masyarakat serta agensi-agensi kerajaan yang berkenaan.

Kempen bersepadu ini adalah sebagai kesinambungan daripada kempen kebersihan sebelumnya yang melibatkan kawasan-kawasan sekitar Padang Kompleks Dewan Kemasyarakatan, Tatangan Persiaran, Pantai Seri Kenangan serta bangunan agensi-agensi kerajaan di daerah itu.

ARTIKEL YANG SAMA