Bersih kubur kenang jasa bekas anggota

Bersih kubur kenang jasa bekas anggota

Oleh Hajah Saemah Kepli

KUALA BELAIT, 11 Feb – Seramai 60 orang anggota Polis Keselamatan Padang Minyak Daerah Belait, hari ini, bersama-sama membersihkan perkuburan salah seorang anggota polis keselamatan berkenaan yang telah kembali ke rahmatullah.

Program tersebut merupakan aktiviti bersempena Sambutan Hari Polis ke-95 Tahun 2016 dan telah diketuai oleh Pegawai Menguasa Polis Keselamatan Padang Minyak LNG, Inspektor Haji Kaffli bin Haji Lidus.

Kerja-kerja membersihkan perkuburan di Tanah Perkuburan Orang-orang Islam di Batu Tiga Jalan Maulana itu turut disertai oleh ahli-ahli keluarga Allahyarham.

Majlis diteruskan dengan bacaan Tahlil dan Doa Arwah bagi memperingati jasa Allahyarham Mohd Rosidee bin Haji Mohammed @ Johnny Teo, yang merupakan salah seorang anak tempatan pertama bertugas dalam Pasukan Keselamatan Padang Minyak sebelum dikenali dengan nama Polis Keselamatan Padang Minyak LNG, pada tahun 1958 hingga 1974.

Kerja membersihkan tanah perkuburan Allahyarham Mohd Rosidee diteruskan dengan bacaan Tahlil dan Doa Arwah.
Kerja membersihkan tanah perkuburan Allahyarham Mohd Rosidee diteruskan dengan bacaan Tahlil dan Doa Arwah.

Allahyarham mula berkhidmat dengan Pasukan Polis Diraja Brunei pada tahun 1958, dengan jawatan sebagai Polis Tambahan (APO) dan telah menerima pingat Rekrut Terbaik daripada 64 orang yang telah dilatih sebagai Rekrut pada tahun 1958.

Semasa operasi pencarian menggali minyak di Seria pada tahun 1960, Allahyarham telah dinaikkan pangkat kepada Inspektor dan sepanjang perkhidmatannya, Allahyarham pernah menerima Pingat Memperingati Hari Pejuang pada tahun 1962. Allahyarham telah kembali ke rahmatullah pada 16 Mac 2015.

Selain bersempena dengan Sambutan Hari Polis ke-95 tahun, majlis itu antara lain bertujuan untuk mengeratkan silaturahim antara anggota Polis Keselamatan Padang Minyak LNG dengan ahli-ahli keluarga Allahyarham Mohd Rosidee.