Bersihkan kawasan kebakaran

Bersihkan kawasan kebakaran

Oleh Sahama

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Mac – Majlis Perundingan Kampung (MPK) Tamoi Tengah dan Tamoi Ujong, Mukim Tamoi hari ini mengadakan kempen gotong-royong membersihkan tapak rumah yang musnah dalam kebakaran baru-baru ini.

Turut serta dalam aktiviti itu ialah Penghulu Mukim Tamoi, Pengarah Haji Mokti bin Mat Salleh yang antara lain menyuarakan ucapan terima kasihnya kepada agensi-agensi kerajaan dan swasta yang telah membantu keluarga-keluarga yang terlibat dari segi aspek keperluan pembelajaran anak-anak keluarga yang terlibat.

Turut hadir dalam kempen tersebut ialah ahli jawatankuasa MPK, sukarelawan bomba, belia-belia Kampung Tamoi dan penduduk sekitarnya.

Kerjasama bergotong-royong membersihkan tapak kediaman yang terbakar itu merupakan usaha murni dan tanggungjawab MPK dalam menjaga kebajikan penduduk kampung dalam meringankan beban serta masalah yang dihadapi keluarga mangsa kebakaran yang terlibat.

Ketua Kampung Tamoi Tengah dan Tamoi Ujong, Awang Tarip bin Haji Asgar menjelaskan bahawa kerja-kerja membersihkan sisa rumah yang musnah dalam kebakaran akan diteruskan lagi esok dengan kerjasama kakitangan Jabatan Daerah Brunei dan Muara.

Kejadian kebakaran tersebut melibatkan empat buah rumah yang dimiliki oleh Haji Shari bin Haji Lakim, Awang Roslan bin Mohammad@Ahmad, Hajah Kayah binti Haji Osman dan Suhardi bin Latif yang ketika ini menumpang di rumah saudara masing-masing.

Sebarang bantuan khususnya dari segi makanan dan kewangan boleh disalurkan dengan menghubungi Penghulu Mukim Tamoi atau kepada ketua kampung Tamoi Tengah dan Tamoi Ujong.