Bersihkan ‘ruang’ untuk hidup lebih tenang

RUTIN kerja yang menimbun di pejabat setentunya akan membuatkan anda berasa penat dan letih. Ditambah pula bila pulang ke rumah anda perlu mengemas dan membersihkan ruang yang banyak ‘diterokai’ oleh anak-anak.

Menurut Marie Kondo, pakar pengurusan membersihkan ruangan dalam rumah bukan sahaja untuk lebih rapi tetapi turut mempengaruhi psikologi seseorang.

Hati dan fikiran pun menjadi tenang. Selain ruangan rumah, ada lagi ‘ruang’ yang perlu dirapikan. Jadi, ambillah masa selama beberapa minit setiap hari untuk membersihkan ‘ruang-ruang’ ini.

Pakaian yang sudah dilipat

Inilah perkara yang paling malas untuk dilakukan. Sedangkan anda hanya memerlukan masa lima minit untuk menyimpannya ke dalam almari. Semakin lama anda tunda untuk mengemas maka setentunya ia akan membuatkan anda akan berasa semakin terbeban.

Inbox e-mel yang penuh wajar dikosongkan bagi mengelakkan diri berasa tertekan ketika bekerja.

Meja kerja

Sudah berapa kali anda berusaha untuk mengemaskan meja tempat anda bekerja namun ada kalanya anda masih tetap bertegas untuk malas melakukannya.

Cuba ringankan tangan untuk membuang sampah dan kertas yang berselerakan di atas meja. Lap dan susun cantik barang yang ada di mana ia setentunya akan membuatkan anda akan berasa lega.

Dapur dan ruang makan

Sesetengah individu ada yang suka melakukan kerja di bahagian ruang makan. Jadi, semakin lama anda melakukan dan menumpukan kerja di ruang itu secara tidak langsung akan menjadikan semakin banyak barang yang diletakkan.

Maka, rajinkan diri untuk membersihkan dan mengemaskan kembali barang-barang yang digunakan dan buang sahaja barang yang tidak penting.

Beg tangan

Ini adalah aksesori yang sering dibawa oleh wanita pada setiap hari dan banyak benda yang ada di dalamnya.

Mungkin ada barang yang perlu dan tidak mustahil barang yang tidak diperlukan. Contohnya, tiket bayaran letak kereta, resit tol, pembalut gula-gula dan sebagainya. Selongkar isi beg tangan anda dan bersihkan setiap pagi untuk memudahkan anda mencari barang yang perlu dibawa di dalamnya.

Beg duit

Buang semua resit perbelanjaan yang tidak diperlukan. Letakkan duit di bahagian yang lebih mudah untuk anda ambil dan duit syiling pula dimasukkan ke dalam beg khas supaya beg duit anda tidak terlalu berat.

Inbox e-mel

Salah satu ruang interaktif yang sering dilupakan sehingga mempengaruhi produktiviti kerja anda.

Ketahui intipati e-mel yang masuk pada setiap hari dan padamkan yang tidak berkenaan. Anda juga boleh mengatur e-mel dengan mengikut tahap keutamaan kerja yang harus diselesaikan.