Bersukan sempena Hari Olahraga Syahkampong

Bersukan sempena Hari Olahraga Syahkampong

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Feb – Awang Muhammad ‘Aiman Syafiq bin Haji Mohamad Roslani melakukan kejutan dengan memenangi dua acara pecut; Lari 50 meter (m) dan Lari 100m untuknya mendapat gelaran Raja Pecut selain meraih perak Lari Berganti-ganti 4x400m, sekaligus melayakkannya menerima anugerah Olahragawan Emas 2016.

Dalam Hari Olahraga Syahkampong Kali Pertama Sempena Ulang Tahun Ke-18 Penubuhan Syahkampong 2016 itu, Awang Abdul Hapiz bin Haji Untong menerima anugerah Olahragawan Perak 2016, juga dengan kutipan 2 emas dari acara Lari 1500m dan Lari Berganti-ganti 4x400m dan 1 perak dari acara Lari 800m.

Manakala Awang Muhammad Sulaiman bin Haji Abdul Rahim dan Awang Mohammad Ariffin bin Haji Ibrahim pula memenangi anugerah Olahragawan Gangsa 2016 bersama setelah masing-masing meraih 1 emas dan 1 perak. Awang Muhammad Sulaiman mendapat emasnya dari Lari 800m dan perak dari Lari 100m, sementara Awang Mohammad Ariffin memperoleh emas dari Lari 400m dan perak dari Lontar Peluru.

Sebanyak lapan acara sukan olahraga dan padang telah dipertandingkan dalam kejohanan olahraga di balapan dan padang Sekolah Rendah (SR) Mabohai berkenaan iaitu Lari 50m, Lari 100m, Lari 200m, Lari 400m, Lari 800m, Lari 1500m, Lontar Peluru dan Lari Berganti-ganti 4x400m.

Dengan catatan masa 6.91 saat, Awang Muhammad ‘Aiman Syafiq menjuarai Lari 50m, disusuli Awang Abdul Faiz bin Zaini di tempat kedua dan Awang Muhammad Hafriz bin Haji Abdul Razak di tempat ketiga.

Para peserta Lari 50 meter bersiap sedia di garis mula sebelum memulakan perlumbaan.
Para peserta Lari 50 meter bersiap sedia di garis mula sebelum memulakan perlumbaan.
Awang Abdul Hapiz (kiri) berada di depan Bazli (tengah) dan Zainul (kanan) dalam acara Lari 1500 meter.
Awang Abdul Hapiz (kiri) berada di depan Bazli (tengah) dan Zainul (kanan) dalam acara Lari 1500 meter.
Salah seorang peserta ketika melakukan lontaran dalam acara Lontar Peluru.
Salah seorang peserta ketika melakukan lontaran dalam acara Lontar Peluru.
Gambar ramai para atlet yang menyertai sukan tersebut bersama piala kemenangan masing-masing.
Gambar ramai para atlet yang menyertai sukan tersebut bersama piala kemenangan masing-masing.

Dalam Lari 100m, Awang Muhammad ‘Aiman Syafiq mencatat 12.77 saat untuk mengutip emas, dengan perak dimenangi Awang Muhammad Sulaiman dan gangsa dimenangi Awang Mohd Iqbal Hisyamuddin bin Ibrahim. Emas Lari 200m pula diraih Awangku Mohd Nazirrul Aqil bin Pengiran Mohd Yassin dengan catatan 29.97 saat, diekori sangat rapat oleh Awang Mohammad Amirul Azim bin Haji Awang Omar di tempat kedua, manakala Awang Mohd Zainul Ariffin bin Awang Haji Wasle mengutip gangsa.

Lari 400m menyaksikan Awang Mohammad Ariffin menggondol emas dengan masanya 1 minit 11.89 saat, sementara perak diraih Awang Hasan Zayd bin Haji Kahar, dan gangsa dikutip oleh Awang Mohammad Azizaman bin Awang Norzaman.

Awang Muhammad Sulaiman pula mengutip emas Lari 800m dengan masa 2 minit 46.45 saat, diekori Awang Abdul Hapiz di kedudukan kedua dan Awangku Mohd Nazirrul Aqil di tempat ketiga.

Dengan catatan masa 6 minit 25.23 saat, Awang Abdul Hapiz meraih emas Lari 1500m, dengan perak dimenangi Awang Muhammad Bazli bin Haji Bahrum dan gangsa dikutip Awang Mohd Zainul Ariffin.

Dalam satu-satunya acara buangan, Awang Mohd Iqbal Hisyamuddin jauh meninggalkan peserta lain dengan lontaran sejauh 11.25 meter untuk muncul juara, sementara naib juara dimenangi Awang Mohammad Ariffin dan gangsa diraih Awang Abdul Faiz.

Lari Berganti-ganti 4x400m dijuarai kuartet Awang Hasan Zayd, Awang Muhammad Hafriz, Awang Muhammad Faarisul Islam Faaris bin Mohammed Alias dan Awang Abdul Hapiz dengan masa 5 minit 30.93 saat. Sementara kuartet Awang Mohammad Azizaman, Awangku Abdul Rashid bin Pengiran Ibrahim, Awang Abdul Faiz dan Awang Muhammad ‘Aiman Syafiq memenangi perak, dan kuartet Awangku Mohd Nazirrul Aqil, Haji Muhd Alfian bin Haji Abdul Manap, Awang Mohd Amirul Azim dan Awang Mohd Zainul Ariffin meraih gangsa. Hadir menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang ialah Jurulatih Kecergasan Syahkampong, Awang Mohammed Alias bin Haji Metussin. – Hasrulraizan