Bersyukur dengan nikmatNya

Bersyukur dengan nikmatNya

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Mac – Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam masih mampu menyediakan peruntukan belanjawan untuk kemaslahatan, pembangunan dan kemajuan rakyat dan penduduk negara ini.

Ini dapat dilihat melalui pembentangan bajet untuk semua kementerian melalui Sidang Permesyuaratan ke-12, Majlis Mesyuarat Negara yang kini sedang berlangsung dan membincangkan pelbagai perkara yang banyak memfokuskan ke arah kemajuan negara, termasuklah perbincangan peruntukan belanjawan negara bagi tahun kewangan 2016/2017.

Khatib menyentuh mengenai perkara itu dalam Khutbah Jumaat hari ini, menyatakan meskipun dalam keadaan ekonomi yang merudum dan menjejaskan pendapatan negara, namun rakyat dan penduduk negara ini masih dapat menikmati keamanan, kemakmuran, ketenteraman dan kesejahteraan hidup.

“Bersyukur adalah sifat orang beriman dan menzahirkan kesyukuran itu hendaklah turut disertakan dengan ketaatan kepada Allah dan dengan amalan bersyukur dapat menikmati limpahan kurnia dari Allah,” kata Khatib.

Menurut khatib lagi, semua orang sedia maklum kejatuhan harga minyak global yang merudum sehingga lebih 70 peratus benar-benar telah menjejaskan hasil pendapatan kesemua negara pengeluar minyak termasuklah negara kita.

“Inilah ujian dari Allah dan ketahuilah ujian yang berupa kesukaran dan kesusahan adalah kerana Allah kasih kepada hambaNya supaya tidak lalai dan leka. Ini seterusnya akan dapat mendorong hambaNya untuk terus ingat kepada Allah reda dengan ketentuanNya, berserah dan memohon hanya kepadaNya. Ingatlah, setiap kesusahan itu akan berakhir dengan kesenangan,” tambah khatib.

Khatib seterusnya menambah, perlu disedari, ujian kesukaran dan kepayahan tersebut mengandungi pelbagai hikmah dan apa yang penting ujian itu dihadapi dengan sabar.

Allah telah menjanjikan kepada umat Islam ganjaran pahala yang berlipat ganda, akan dikasihi olehNya, mendapat pengampunan, rahmat dan petunjuk dari Allah yang mana ganjaran tersebut merupakan nikmat dan rahmat Allah kepada hambaNya.

Menurut Khatib, jika dilihat dari sudut positif, ujian yang dihadapi masa kini juga telah mendorong kita untuk menjadi orang yang lebih gigih berusaha dan berdikari, mendidik menjadi orang yang lebih berwaspada, kreatif, siap siaga dan berhemah.

Cuba kita imbas kembali kisah yang pernah berlaku pada zaman Nabi Yunus di mana negara tersebut telah menghadapi krisis ekonomi yang amat mencabar berpunca daripada kemarau yang berpanjangan hingga menjejaskan tanaman mereka selama bertahun-tahun lamanya.

Dalam persidangan Majlis Mesyuarat Negara baru-baru ini, di antara perkara yang turut ditekankan ialah supaya rakyat dan penduduk negara ini tidak melihat pihak kerajaan sebagai satu-satunya tempat bergantung dalam pembangunan ekonomi serta dalam pemberian pekerjaan.

Sehubungan itu, masyarakat diseru untuk menyahut seruan tersebut dengan lebih berdikari dan lebih gigih berusaha dalam mencari sumber pendapatan dan antara melalui bidang perniagaan. Menurut Khatib, bidang tersebut dilihat berpotensi dan mampu untuk menjana perkembangan ekonomi rakyat di negara ini.

Ini juga yang dihasratkan oleh Baginda Sultan sempena Majlis Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan ke-12 pada tahun ini. Melihat kepada banyaknya peluang dan kemudahan yang telah disediakan, sudah wajar untuk merebut dengan sebaiknya.

Berniaga merupakan pekerjaan yang mulia untuk mendapatkan sumber rezeki yang baik dan halal selain berniaga juga merupakan Sunah Nabi.

Oleh itu, masyarakat hendaklah mengubah minda supaya tidak hanya bergantung pada sektor awam khasnya dalam mata pencarian.

Inilah peluang untuk kita meningkatkan potensi diri dengan menyahut seruan kerajaan dalam mengembangkan ekonomi bahkan dengan berkembangnya kepelbagaian aktiviti perekonomian di negara ini akan dapat menjamin sumber pendapatan negara dari terus bergantung pada sumber asli semata-mata.

ARTIKEL YANG SAMA