Bersyukur terima sumbangan, ringankan bebanan keluarga

Bersyukur terima sumbangan, ringankan bebanan keluarga

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 28 Feb – Inisiatif Majlis Perundingan Mukim (MPM) Seria dan Majlis Perundingan Kampung STKRJ Lorong Tiga Selatan dalam memberikan bantuan kepada keluarga Awang Esmadi bin Osman disambut dengan tanda syukur oleh beliau sendiri setelah menerima sebuah mesin rumput pada acara Sambutan Tahun Baru Cina baru-baru ini di Dewan Kemasyarakatan Seria.

Awang Esmadi juga adalah salah seorang penerima daripada lapan buah keluarga kurang berkemampuan yang menerima bantuan keperluan asas bagi meringankan beban harian mereka.

Dalam temuramah bersama media, Ketua Kampung, Haji Saidin bin Haji Ibrahim, berkata Awang Esmadi yang tinggal di STKRJ Lorong Tiga Selatan menerima bantuan hasil inisiatif ahli jawatankuasa bersama MPM Seria dan MPK STKRJ Lorong Tiga Selatan dalam membantu beliau untuk memulakan perniagaan sendiri bagi mendapat hasil daripada memotong rumput.

Awang Esmadi, 46, mempunyai seorang isteri dan lapan orang anak, iaitu empat lelaki dan empat perempuan, dan kesemuanya masih bersekolah. Beliau pernah bekerja secara tetap di sebuah syarikat swasta, namun hanya mampu menjual kelapa di tamu berhampiran untuk mendapatkan hasil sementara apabila beliau tidak lagi menjawat jawatan di tempat kerjanya sebelum ini.

Awang Esmadi menerima sumbangan derma berupa mesin rumput.
Awang Esmadi menerima sumbangan derma berupa mesin rumput.

“Kami telah lama bersuara dan berbincang mengenai cara terbaik dan bagaimana untuk membantu keluarga beliau, melihat latarbelakangnya kami semua memutuskan untuk menyumbangkan derma sebuah mesin rumput ini untuk memberikan peluang bagi beliau membuat perniagaan sendiri melalui memotong rumput halaman rumah penduduk kampung disini,” jelas ketua kampung itu lagi.

Haji Saidin berharap dengan inisiatif MPM dan MPK terbabit dalam memberikan pertolongan sebegini akan dapat membantu menjana pekerjaan dan perniagaan kecil di kampung itu dan membuka peluang kepada orang ramai untuk mencari rezeki halal.

“Dengan keramaian lima ribu orang penduduk di kampung ini, Insha Allah akan menjadi tempat rezeki Awang Esmadi dalam mencari pelanggan-pelanggan untuknya memotong rumput di halaman rumah mereka,” katanya lagi.

Awang Esmadi juga ketika ditemuramah memberitahu media bahawa beliau amat berterima kasih kepada ahli jawatankuasa MPM Seria dan MPK STKRJ Lorong Tiga Selatan dan bersyukur diatas pemberian itu dan berharap beliau dapat memulakan perniagaan kecil memotong rumput sebagai menjana hasil ekonomi keluarga beliau sendiri.

ARTIKEL YANG SAMA