Bertadarus di Hospital SSB

Bertadarus di Hospital SSB

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 28 Jun – Kementerian Kesihatan, kelmarin, telah meneruskan lagi Majlis Tadarus ke hospital-hospital di seluruh negara, dengan kunjungan kali ini di Hospital Suri Seri Begawan (SSB), Kuala Belait.

Rombongan kementerian berkenaan telah diketuai oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Mohd Yusof.

Majlis yang diselajurkan dengan bacaan tahlil dan doa arwah serta sembahyang fardu Maghrib berjemaah ini turut menyaksikan penyampaian derma kepada seramai 14 orang anak yatim warga perkhidmatan hospital berkenaan serta pengagihan sumbangan kepada pesakit-pesakit di bawah pengendalian Unit Kebajikan Perubatan hospital tersebut yang telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Pehin.

Terdahulu, majlis telah dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, sebelum ucapan alu-aluan Ketua Pegawai Eksekutif, Hospital SSB, Awang Mohamad bin Haji Abdul Hamid, dan diteruskan dengan tadarus Al-Quran Juzuk ke-19 beramai-ramai, kemudiannya diikuti dengan penyampaian sumbangan.

pg09_150629_b

Yang Berhormat Pehin Haji Adanan menyampaikan sumbangan derma kepada anak-anak yatim.
Yang Berhormat Pehin Haji Adanan menyampaikan sumbangan derma kepada anak-anak yatim.

Majlis turut diselajurkan dengan berbuka puasa setelah azan Maghrib berkumandang, dan diteruskan dengan menunaikan sembahyang Fardu Maghrib berjemaah.

Majlis tersebut merupakan antara acara tahunan Kementerian Kesihatan yang bertujuan untuk menyemarakkan lagi bulan Ramadan yang penuh rahmat ini serta bagi mengeratkan lagi silaturahim di antara warga kementerian dan warga hospital di sini.

Selepas ini, rombongan tersebut akan meneruskan majlis bertadarus di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS).

ARTIKEL YANG SAMA