Bertahlil di Kubah

Bertahlil di Kubah

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Jun – Kubah Makam Diraja, di Jalan Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, terus berkumandang dengan bacaan tahlil bagi Al-Marhum Sultan Haji Omar Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien dan Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit serta kerabat diraja lain, yang diadakan sebagai aktiviti amal bulan Ramadan oleh pelbagai pihak di negara ini.

Rombongan kira-kira 300 orang yang terdiri daripada para pegawai dan kakitangan Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya adalah antara yang mengadakan Majlis Tahlil di Kubah Makam Diraja, kelmarin.

Rombongan diketuai oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman.

Hadir sama ialah Setiausaha Tetap (Teknikal dan Profesional), Dato Paduka Haji Suhaimi bin Haji Ghafar; Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan), Haji Muhammad Lutfi bin Abdullah; Timbalan Setiausaha Tetap, Haji Marzuke bin Haji Mohsin dan ketua-ketua jabatan, ketua divisyen/unit, para pegawai dan kakitangan kementerian berkenaan.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Yasin, tahlil dan diikuti dengan doa arwah yang dipimpin Pegawai Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Faizal bin Rosli.

Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi bersama warga Kementerian Pembangunan ketika menyertai majlis tahlil berkenaan.
Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi bersama warga Kementerian Pembangunan ketika menyertai majlis tahlil berkenaan.

Majlis seumpama ini adalah sebahagian daripada kegiatan keagamaan yang dikendalikan oleh kementerian bersempena dengan bulan Ramadan Al-Mubarak.

Sementara itu, hari ini, Brunei LNG Sdn Bhd, Brunei Gas Carriers Sdn Bhd dan Brunei Methanol Company Sdn Bhd, juga mengadakan majlis seumpamanya, yang dihadiri oleh kira-kira 50 pegawai kanan dan kakitangan ketiga-tiga syarikat tersebut.

Hadir pada majlis itu ialah Pengarah Urusan Brunei LNG Sdn Bhd, Awang Mohamad bin Haji Awang Damit, Pengarah Urusan Brunei Gas Carriers Sdn Bhd, Haji Shahbudin bin Haji Musa dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Brunei Methanol Company Sdn Bhd, Awang Daud bin Haji Jais.

Bacaan Surah Yasin, tahlil dan doa arwah dipimpin oleh Awang Mohammad Rifaie bin Haji Mohammad Noor dari Brunei LNG Sdn Bhd.

Majlis ini merupakan salah satu aktiviti keagamaan yang dianjurkan sepanjang bulan Ramadan pada setiap tahun itu.

Rombongan STBD, TBA dan TBK bersama para tetamu yang hadir di majlis bertahlil di Kubah Makam Diraja.
Rombongan STBD, TBA dan TBK bersama para tetamu yang hadir di majlis bertahlil di Kubah Makam Diraja.
(Dari kiri) Haji Shahbudin, Awang Mohamad dan Awang Daud ketika menghadiri majlis bertahlil di Kubah Makam Diraja.
(Dari kiri) Haji Shahbudin, Awang Mohamad dan Awang Daud ketika menghadiri majlis bertahlil di Kubah Makam Diraja.

Turut mengadakan Majlis Tahlil di Kubah Makam Diraja, hari ini, adalah Syarikat Takaful Brunei Darussalam (STBD) bersama subsidiari-subsidiarinya, Takaful Brunei Am (TBA) dan Takaful Brunei Keluarga (TBK).

Rombongan berkenaan telah diketuai oleh Pengerusi STBD, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Seri Dewa Mejar Jeneral (R) Dato Seri Pahlawan Haji Mohammad bin Haji Daud, dan dihadiri oleh ahli-ahli lembaga pengarah, para pegawai dan kakitangan STBD, TBA dan TBK.

Turut hadir ialah Pengerusi Badan Penasihat Syariah (TAIB), Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Yasin diikuti bacaan tahlil dan doa arwah bagi Al-Marhum Sultan Haji Omar Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien dan Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit.

Dalam semangat bulan Ramadan ini, STBD dalam kenyataannya memberitahu bahawa, mereka juga akan terlibat aktif dalam pelbagai aktiviti keagamaan seperti Tadarus, Khatam Al-Quran dan kempen amal bagi mereka yang kurang bernasib baik.

ARTIKEL YANG SAMA