Bertahlil di Kubah Makam Diraja

Bertahlil di Kubah Makam Diraja

Oleh Pg Fairol RMF & Lyna Mohamad

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Jun – Majlis Bertahlil bagi Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien dan Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit terus diadakan oleh pelbagai pihak bagi menyemarakkan lagi bulan Ramadan ini.

Antara yang mengadakan majlis seumpamanya di Kubah Makam Diraja, Jalan Tutong, hari ini, ialah rombongan seramai 60 orang warga Persatuan Anggota Polis Diraja Brunei yang Bersara (POLSARA).

Hadir pada majlis itu, Yang Di-Pertua POLSARA, Penguasa Polis (B), Pengiran Dato Paduka Haji Salim bin Pengiran Wahid.

Turut hadir ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Maharaja Kerna Dato Paduka Seri Haji Yaakub bin Pehin Orang Kaya Maharaja Diraja Dato Paduka Haji Zainal, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Pendikar Alam Dato Paduka Seri Haji Hasrin bin Dato Paduka Haji Sabtu dan Dato Paduka Seri Haji Abdul Rahman bin Haji Awang Besar selaku penasihat-penasihat POLSARA.

Bacaan Tahlil dan Surah Yasin telah diketuai oleh Awang Muhammad Runy bin Metali.

Rombongan POLSARA ketika mengadakan majlis tahlil di Kubah Makam Diraja.
Rombongan POLSARA ketika mengadakan majlis tahlil di Kubah Makam Diraja.

Turut mengadakan majlis tahlil ialah ahli dan kakitangan Koperasi Berkat Kerja-karas Semua Senang (BKSS), Kementerian Kesihatan Berhad yang diketuai oleh Pengerusinya, Haji Mohd Salleh bin Haji Mohiddin.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah diikuti dengan bacaan Surah Yasin dan Tahlil.

Majlis seumpama ini merupakan sebahagian daripada aktiviti BKSS yang dianjurkan buat kali pertamanya oleh koperasi tersebut bersempena bulan Ramadan.

Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Pemerintah Negara Brunei Darussalam ke-28 yang dikenali sebagai Arkitek Brunei Moden, mangkat pada 3 Muharam 1407 Hijrah bersamaan 7 September 1986 manakala, Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit pula mangkat pada 20 Syawal 1399 Hijrah bersamaan 13 September 1979.

ARTIKEL YANG SAMA