Bertahlil di Kubah Makam Diraja

Bertahlil di Kubah Makam Diraja

Oleh Yusrin Junaidi & Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BAGAWAN, 20 Jun – Majlis Bertahlil bagi Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien dan Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit terus diadakan oleh pelbagai pihak di negara ini bagi menyemarakkan lagi bulan Ramadan pada tahun ini.

Antara yang mengadakan majlis seumpamanya di Kubah Makam Diraja, Jalan Tutong, hari ini, ialah Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) yang dihadiri oleh Menteri Pendidikan selaku Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah AMBD, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan II, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato Paduka Haji Mohd Roselan bin Haji Mohd Daud, Timbalan Menteri Kewangan, Dato Paduka Haji Hisham bin Haji Mohd Hanifah, ahli-ahli Lembaga Pengarah AMBD yang lain serta para pegawai dan kakitangan lelaki AMBD.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Yasin dan seterusnya, tahlil beramai-ramai yang dipimpin oleh Imam Masjid Duli Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Kampung Tamoi, Awang Faizal bin Rosli @Janif.

Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi dan Yang Berhormat Pehin Haji Abdul Rahman bersama yang lain bertahlil di Kubah Makam Diraja kelmarin. – Gambar oleh Danial Norjidi
Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi dan Yang Berhormat Pehin Haji Abdul Rahman bersama yang lain bertahlil di Kubah Makam Diraja kelmarin. – Gambar oleh Danial Norjidi

Dalam masa yang sama, AMBD juga telah mengadakan Majlis Ceramah sempena bulan Ramadan 1437H/2016M untuk pegawai-pegawai dan kakitangan perempuan AMBD di Dewan Teater, Bangunan Kementerian Kewangan.

Ceramah bertajuk ‘Tanggungjawab Seorang Anak’ itu telah disampaikan oleh Ketua Bahagian Penyebaran Dakwah dari Pusat Dakwah Islamiah, Hajah Zunainah binti Haji Gunung.

Turut mengadakan majlis tahlil ialah rombongan Pasukan Polis Diraja Brunei yang dihadiri oleh Pesuruhjaya Polis, Dato Seri Pahlawan Haji Mohd Jammy bin Haji Muhd Shah Al-Islam.

Dato Seri Pahlawan Haji Mohd Jammy mengetuai rombongan Pasukan Polis Diraja Brunei bertahlil di Kubah Makam Diraja kelmarin.
Dato Seri Pahlawan Haji Mohd Jammy mengetuai rombongan Pasukan Polis Diraja Brunei bertahlil di Kubah Makam Diraja kelmarin.

Hadir sama ialah Penolong Pesuruhjaya Polis Kanan, Awang Mohammad Irwan bin Haji Hambali selaku Pemangku Timbalan Pesuruhjaya Polis, para pegawai dan anggota pangkat rendah Pasukan Polis Diraja Brunei.

Bacaan Surah Al-Fatihah, Surah Yasin dan doa arwah di majlis berkenaan telah dipimpin oleh Imam Surau Ibu Pejabat Polis Gadong,

Majlis Perundingan Mukim (MPM) Sengkurong turut mengadakan majlis seumpamanya yang diharapkan untuk mengeratkan lagi hubungan silaturahim dalam kalangan penduduk kampung supaya sama-sama melibatkan diri dalam acara-acara berkebajikan.

Rombongan yang diketuai oleh Penghulu Mukim Sengkurong, Haji Musa bin Haji Tahir itu telah disertai oleh jemputan-jemputan khas iaitu ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Pehin Datu Imam Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Abdul Hamid bin Bakal, dan Penasihat MPM Sengkurong, Dato Paduka Haji Puasa bin Orang Kaya Seri Pahlawan Tudin.

Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Abdul Hamid, dan Penghulu Mukim Sengkurong hadir di Majlis Bertahlil di Kubah Makam Diraja kelmarin.
Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Abdul Hamid, dan Penghulu Mukim Sengkurong hadir di Majlis Bertahlil di Kubah Makam Diraja kelmarin.

Majlis juga dihadiri oleh penasihat-penasihat MPK, ketua-ketua kampung, ahli-ahli MPM/MPK, penduduk kampung, pegawai-pegawai masjid, ahli-ahli jawatankuasa takmir masjid, belia masjid, pengawasan kejiranan kampung, persatuan dan sukarelawan, koperasi dan syarikat kerjasama di bawah Mukim Sengkurong (Sengkurong A, Sengkurong B, Jerudong, Mulaut, Tanjung Nangka, Kulapis, Lugu dan Katimahar).

Pada majlis itu, bacaan tahlil telah dipimpin oleh Imam Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Kampung Jerudong, Haji Kamaruzzaman bin Haji Jakar.

Majlis ini bertujuan bagi menyemarakkan bulan Ramadan dengan majlis-majlis keagamaan dan berkebajikan, di samping mengharapkan ganjaran pahala dan keberkatan bulan yang mulia.

ARTIKEL YANG SAMA