Bertahlil di Kubah

Bertahlil di Kubah

Oleh Yusrin Junaidi & Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Jun – Kubah Makam Diraja terus menjadi tumpuan bagi mengisi aktiviti keagamaan dalam bulan Ramadan dengan mengadakan Majlis Tahlil bagi Al-Marhum Sultan Haji Omar Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien dan Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit.

Rombongan dari Kementerian Kesihatan, yang diketuai oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Mohd Yusof adalah antara yang mengadakan majlis seumpamanya di Kubah Makam Diraja, di ibu negara, hari ini.

Majlis yang merupakan aktiviti tahunan kementerian berkenaan, telah dihadiri oleh kira-kira 200 orang yang terdiri daripada pegawai tugas-tugas khas kanan, ketua-ketua pengarah, para pengarah, pegawai kanan, pegawai-pegawai dan kakitangan di kementerian itu.

Bacaan Surah Yasin, tahlil dan doa arwah dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Awang Mohd Fauzi bin Haji Anuar.

Turut mengadakan majlis seumpamanya, hari ini, adalah rombongan Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) yang diketuai oleh Menteri Pembangunan selaku Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah AMBD, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman.

Yang Berhormat Pehin Haji Adanan mengetuai rombongan Kementerian Kesihatan bertahlil di Kubah Makam Diraja.
Yang Berhormat Pehin Haji Adanan mengetuai rombongan Kementerian Kesihatan bertahlil di Kubah Makam Diraja.
Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi ketika mengetuai majlis tahlil AMBD.
Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi ketika mengetuai majlis tahlil AMBD.

Hadir sama ialah Menteri Kewangan II di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato Paduka Haji Ali bin Apong, ahli-ahli Lembaga Pengarah AMBD yang lain serta pegawai dan kakitangan lelaki di bawah AMBD.

Majlis berkenaan dimulakan dengan bacaan Surah Yasin, seterusnya bacaan tahlil beramai-ramai yang dipimpin oleh Awang Faizal bin Rosli.

Dalam masa yang sama, AMBD dalam kenyataannya memberitahu bahawa, Majlis Ceramah sempena Bulan Ramadan juga telah diadakan untuk para pegawai dan kakitangan perempuan AMBD di Dewan Teater, bangunan Kementerian Kewangan.

Ceramah bertajuk ‘Peranan wanita dalam Islam’ telah disampaikan oleh, Pengiran Norhayati binti Pengiran Haji Kashran, daripada Pusat Dakwah Islamiah.

Satu lagi rombongan kementerian yang mengadakan Majlis Tahlil buat Al-Marhum Sultan Haji Omar Ali Saifuddien dan Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit, hari ini, adalah Kementerian Kewangan dan jabatan-jabatan di bawahnya.

Warga Kementerian Kewangan turut mengadakan Majlis Tahlil di Kubah Makam Diraja, kelmarin.
Warga Kementerian Kewangan turut mengadakan Majlis Tahlil di Kubah Makam Diraja, kelmarin.
Ahli-ahli Kelab Bersatu Bikers ketika Majlis Bertahlil di Kubah Makam Diraja, baru-baru ini.
Ahli-ahli Kelab Bersatu Bikers ketika Majlis Bertahlil di Kubah Makam Diraja, baru-baru ini.

Hadir di majlis itu ialah, Timbalan Menteri Kewangan, Dato Paduka Haji Bahrin bin Abdullah, setiausaha-setiausaha tetap, timbalan setiausaha tetap, para pegawai kanan, ketua bahagian, pegawai dan kakitangan lelaki di kementerian berkenaan.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Yasin diikuti dengan tahlil yang dipimpin oleh Imam Masjid Kampung Kapok, Haji Hanifah bin Haji Mahmud.

Manakala itu, di Kementerian Kewangan, majlis sembahyang zohor berjemaah turut diadakan yang disusuli dengan ceramah khas sempena bulan Ramadan yang disampaikan oleh Pakar Penterjemah di Jabatan Mufti Kerajaan, Sharifah Khadijah Husein AlKaf, dengan tajuk ceramahnya, “Selami duka dan cara menanganinya sebagai Muslimah”.

Menurut kenyataan Kementerian Kewangan, majlis berkenaan merupakan program tahunannya bagi mengimarahkan lagi bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini.

Sementara itu, baru-baru ini, beberapa ahli Kelab Bersatu Bikers yang diketuai oleh Awang Zaini bin Haji Puddin juga telah mengadakan majlis seumpamanya sebagai salah satu aktiviti tahunan persatuan berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA