Bertemu di bulan Syawal selepas 34 tahun berpisah

Bertemu di bulan Syawal selepas 34 tahun berpisah

Oleh Kasma

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Ogos – Selepas berpisah 34 tahun, bulan Syawal kali ini mempertemukan semula bekas murid-murid kelas Prep 3B, Sekolah Rendah Pehin Dato Jamil tahun 1981, bersama bekas cikgu mereka Haji Yassin bin Tengah dalam majlis perjumpaan yang berlangsung di Mangrove Paradise Resort, baru-baru ini.

Majlis pertemuan tersebut diserikan lagi dengan kehadiran bekas guru besar tahun 1981, Yang Berhormat Haji Ahmad bin Hussin dan bekas penolong guru besar sekolah berkenaan, Haji Sulaiman bin Haji Duraman.

Pengerusi majlis itu, Haji Masri bin Haji Kambar memberitahu, hasrat untuk mempertemukan semula bekas rakan-rakan sekolah dan guru mereka ini bermula apabila mendengar satu rancangan radio di negara ini yang memberikan peluang kepada pendengar ketika itu untuk mengongsikan kisah-kisah yang tidak dilupakan satu ketika dahulu.

Dalam rancangan tersebut salah seorang rakan mereka, Awang Metali bin Awang Damit telah mengongsikan kisah-kisah mereka bersama Haji Yassin semasa Prep 3B, SRPDJ, 1981, yang mengingatkan memori indah suka dan duka di zaman persekolahan mereka ketika itu.

Gambar kenangan bekas murid-murid Prep 3B, SRPDJ, 1981 bersama tetamu kehormat serta jemputan khas lain.
Gambar kenangan bekas murid-murid Prep 3B, SRPDJ, 1981 bersama tetamu kehormat serta jemputan khas lain.

Katanya, tujuan utama majlis tersebut adalah untuk mengenang jasa dan sumbangan guru mereka, Haji Yassin, yang telah mendidik mereka dengan penuh disiplin sehingga kebanyakan mereka telah berjaya.

Ia juga bagi mengeratkan semula hubungan persahabatan mereka yang sudah sekian lama terjalin sebelum ini.

Majlis yang juga diselajurkan dengan Sambutan Hari Raya Aidilfitri itu juga diisikan dengan tayangan klip video mengenai perjalanan pendidikan dan kerjaya beberapa rakan mereka sebagai ristaan semula saat mereka bersekolah ketika itu, di samping itu penyampaian cenderamata dan sesi bergambar ramai.

ARTIKEL YANG SAMA