Bertemu setelah 26 tahun

Bertemu setelah 26 tahun

LONDON, 25 April – Crystal Palace menempah perlawanan ulangan perlawanan akhir Piala FA 1990 untuk bertemu Manchester United selepas pemain mereka Yannick Bolasi dan Connor Wickham memastikan kemenangan 2-1 ke atas Watford di Wembley, semalam.

Selepas prestasi hambar yang meletakkan mereka di pinggir zon penyingkiran Liga Perdana Inggeris, Palace bermain dengan penuh keyakinan untuk menundukkan lawan pada saingan separuh akhir itu.

Kini mereka berpeluang menebus kekalahan di tangan United 26 tahun lalu, apabila tewas 1-0 pada aksi timbal balik selepas seri 3-3 pada perlawanan pertama.

Pengendali Palace Alan Pardew, yang meledak gol ketika membantu Palace menewaskan Liverpool pada separuh akhir tahun 1990, berkata pasukannya berhak memenangi perlawanan berkenaan.

“Watford menguasai permainan untuk tempoh lima atau 10 minit dan menjaringkan gol, tetapi kami mengawal baki 80 minit dan ia bukti kekuatan mental pemain-pemain kami,” kata Pardew.

Salah satu aksi ketika perlawanan tersebut berlangsung. – AP
Salah satu aksi ketika perlawanan tersebut berlangsung. – AP

“Kami akan mencorak strategi berbeza menentang Manchester United, tetapi ia tidak bermakna kami tidak mampu menguasai permainan. Kami memang berhak berada di sana.”

Pengendali Watford Quique Flores, yang berada dalam tekanan walaupun mengekalkan kedudukan dalam Liga Perdana, berkata skuadnya gagal bangkit selepas Bolasie meletakkan Palace di depan pada minit keenam.

“Sukar apabila dibolosi awal. Ia memerlukan masa untuk bangkit. Kami kembali pada babak kedua dan memberi saingan kepada Palace,” katanya. – Agensi