‘Bertemu untu...

‘Bertemu untuk Bersaing’

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 April – BruNotts Society telah mengadakan Sukan Tahunan BruNotts Easter (B.E.G) kali ke-14 berturut-turut ketika cuti Easter. Acara itu diadakan di Perkampungan Sukan David Ross.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke UK dan Northern Ireland, Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin. Turut hadir ialah pegawai-pegawai dari Pesuruhjaya Tinggi ke United Kingdom dan Northern Ireland, serta Unit Penuntut-penuntut Brunei (UPP).

Acara sukan itu secara rasminya dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan dan diikuti bacaan Surah Al-Fatihah yang diketuai oleh Awangku Syazwan Pengiran Sulaiman.

Ketua eksekutif yang mempengerusikan B.E.G ke-14 itu, Nur Syarfa Syazwana binti Ahmadyani, telah memberikan ucapan alu-aluan dengan berterima kasih kepada semua peserta dan menekan moto B.E.G iaitu ‘Bertemu untuk Bersaing’ sebagai antara sebab utamanya untuk terus mengadakan acara sukan itu.

Sebanyak empat acara utama dipertandingkan dalam B.E.G ke-14 ini, iaitu sukan bola jaring, ping pong, futsal dan badminton.

Pasukan juara, BruNotts, bergambar bersama pingat dan trofi kemenangan.
Pasukan juara, BruNotts, bergambar bersama pingat dan trofi kemenangan.
Pasukan Not Here meraih tempat pertama dalam kategori beregu lelaki.
Pasukan Not Here meraih tempat pertama dalam kategori beregu lelaki.
Rio Synlee (kanan) ketika menerima trofi kemenangan selepas memenangi acara badminton, kategori perseorangan lelaki.
Rio Synlee (kanan) ketika menerima trofi kemenangan selepas memenangi acara badminton, kategori perseorangan lelaki.

Dalam sukan ping pong perseorangan, Afiq bin Ajamain muncul juara menewaskan Al-Quddus, akur di tempat kedua dan Qiud AD pula menyandang tempat ketiga.

Sementara dalam sukan bola jaring pula menyaksikan Pasukan BruNotts Healthy Loughstyle berjaya meraih kejuaraan dalam sukan itu, menewaskan tujuh pasukan lain yang menyertainya. Pasukan Silver Lighting mendapat tempat kedua dan Stabilo akur di tempat ketiga.

Manakala dalam acara badminton perseorangan lelaki, juara disandang oleh Rio Synlee diikuti oleh Wong Dee Yeong di tempat kedua dan Alex Ng meraih tempat ketiga.

Bagi beregu lelaki menyaksikan Pasukan Not Here meraih tempat pertama dengan diikuti oleh Eltthus dan Ayammas yang masing-masing berada di tempat kedua dan ketiga.

Dalam acara badminton beregu wanita pula, Little Senshi memenangi tempat pertama, manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing disandang oleh Wana Vee dan Team Height.

Blue Shuttlers menawan kategori beregu campuran dengan menewaskan EatPuiPui, akur di tempat kedua. Pasukan Sorry, What pula terpaksa berpuas hati di tempat ketiga.

Dalam acara sukan futsal pula, sebanyak 10 pasukan bertanding bagi merebut juara. Pasukan Wolfpack muncul juara bagi acara futsal selepas menewaskan Scabbies dalam perlawanan akhir. Manakala BruHall FT berada di tempat ketiga.

Di akhir acara, terdapat tiga anugerah istimewa juga diumumkan, pertama adalah Anugerah Kasut Emas yang dimenangi oleh Amirul Husni dari Pasukan Scabbies bagi sukan futsal.

Anugerah kedua dimenangi oleh Syasya Yaakob dari Pasukan Stabilo kerana menjadi Pemain Bintang Bola Jaring dan akhir sekali, Anugerah Most Helpful Volunteer dianugerahkan kepada Lisim binti Iskandar Tai.

Acara itu secara rasminya diakhiri dengan doa dan diikuti dengan sesi bergambar ramai sebagai kenang-kenangan.