Bertindak awal cegah Zika

Bertindak awal cegah Zika

KUCHING, 7 Sept – Pihak Berkuasa Tempatan di Sarawak tidak perlu menunggu arahan khusus daripada Jabatan Kesihatan Sarawak untuk mengadakan rutin harian mereka dalam memerangi nyamuk aedes, kata Pengarah Kesihatan Negeri yang baru dilantik, Dr Jamilah Hashim.

Beliau berkata PBT sepatutnya memulakan dari sekarang untuk memusnahkan tempat pembiakan nyamuk aedes dalam kawasan di bawah bidang kuasa mereka untuk mencegah demam denggi dan zika daripada merebak. Katanya 90 peratus daripada tanggungjawab untuk memerangi demam denggi dan zika terletak pada bahu masyarakat.

“PBT dan masyarakat keseluruhannya perlu mengambil tindakan pantas.

“Demam denggi melanda negeri ini selama bertahun-tahun, jadi tidak perlu sebarang arahan khusus daripada Jabatan Kesihatan kepada PBT untuk mengambil langkah pencegahan,” kata Dr Jamilah.Beliau berkata demikian apabila dimaklumkan bahawa terdapat PBT yang menyatakan masih menunggu arahan daripada jabatan kesihatan untuk melaksanakan tugas memerangi nyamuk aedes.

Dr Jamilah bercakap pada sidang akhbar selepas Menteri Kebajikan, Wanita dan Masyarakat Sarawak Datuk Fatimah Abdullah merasmikan Persidangan Kejururawatan Bersama Malaysia-Singapura ke-21 di sini hari ini. Beliau menegaskan bahawa langkah menyembur asap hanyalah untuk menjauhkan nyamuk tetapi yang paling penting adalah mencegah nyamuk aedes dengan memusnahkan tempat pembiakannya.Beliau berkata petugas jabatan itu turut melakukan saringan terhadap penumpang yang tiba dengan penerbangan terus dari Singapura ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching dan lapangan terbang Sibu serta Miri. – Bernama