Bertuah bertemu Baginda

Bertuah bertemu Baginda

Oleh Yusrin Junaidi, Pg Fairol RMF, Sim Y.H & Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Julai – Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah Bersama Rakyat dan Penduduk merupakan sesuatu yang unik di negara ini, dan peluang berharga untuk menatap wajah serta menjunjung ziarah raja yang dihormati dan disayangi.

Rata-rata pengunjung yang ditemui semasa Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah Bersama Rakyat dan Penduduk Daerah Brunei dan Muara sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-70 tahun, hari ini, menyatakan perasaan gembira dan bertuah kerana dapat bertemu dengan Baginda Sultan.

Ketua Kampung Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati, Haji Hamdan bin Omar berkata setiap tahun Mukim Berakas A tidak pernah melepaskan peluang ikut serta untuk bersemuka dan menatap wajah raja kesayangan rakyat sambil menyembahkan ucapan Selamat Hari Keputeraan kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia.

“Alhamdulillah pada tahun ini, Mukim Berakas A mengadakan pameran mini untuk dipersembahkan kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia yang berupa produk-produk utama Mukim Berakas A seperti, produk Minyak Tamulawak, produk tenunan kain Brunei dan kegiatan warga emas Mukim Berakas A yang sedang giat dilaksanakan”.

Menurut beliau, keberangkatan Kebawah Yang Maha Mulia berkenan bercemar duli ke Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah itu membuktikan dan mencerminkan sifat kepimpinan serta pemedulian dan tanda kasih sayang Baginda terhadap rakyat jelata.

Ketua Kampung Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati dan penduduk kampung bersama pesambah dari kampung itu.
Ketua Kampung Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati dan penduduk kampung bersama pesambah dari kampung itu.

Beliau berkata lagi, menatap wajah Baginda, bersalaman dan berinteraksi dengan raja yang berjiwa rakyat satu perkara yang jarang sekali berlaku di kebanyakan negara di dunia, namun ia sudah menjadi tradisi dan amalan bagi negara ini.

Bagi seorang warga emas, Pengiran Haji Ahmad bin Pengiran Muhd Yusop, 70, Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah tidak pernah menghampakan beliau.

Beliau tidak pernah ketinggalan mengikuti Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah bagi Daerah Brunei dan Muara setiap tahun, berkata ribuan rakyat dan penduduk membanjiri majlis bersama Baginda yang diadakan di keempat-empat daerah di negara ini juga menunjukkan betapa Baginda seorang pemimpin dan raja yang dikasihi.

“Dalam majlis inilah rakyat dan penduduk tidak melepaskan peluang untuk menjunjung ziarah dan beramah mesra kehadapan majlis Baginda Sultan, di samping menjunjung kasih dan menyembahkan ucapan tahniah sempena Hari Keputeraan baginda,” ujarnya.

Warga emas Pengiran Haji Ahmad juga memeriahkan majlis itu.
Warga emas Pengiran Haji Ahmad juga memeriahkan majlis itu.
Pengiran Haji Idrus bersyukur masih berpeluang bertemu Baginda.
Pengiran Haji Idrus bersyukur masih berpeluang bertemu Baginda.

Sementara itu, Pengiran Haji Idrus bin Pengiran Metusin, yang merupakan orang kurang upaya dan bekas anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei meluahkan perasaan amat bersyukur kerana dikurniakan nikmat kerana dapat menyaksikan dan menyertai Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah.

Menurutnya, majlis seperti ini menunjukkan bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia merupakan seorang pemimpin yang sangat prihatin akan rakyat dan penduduk yang bermastautin di Negara Brunei Darussalam.

Perasaan gembira bertemu Baginda Sultan turut dikongsi oleh Dayang Rahimah binti Sahari dari Kampung Tasek Meradun, yang berkata, beliau dan keluarga berasa amat teruja untuk berjumpa Kebawah Duli Yang Maha Mulia serta kerabat diraja yang lainnya.

“Kita selaku rakyat dan penduduk negara ini adalah sepatutnya merasa bersyukur, kerana di bawah pemerintahan Baginda, Negara Brunei Darussalam terus dilimpahi dengan keberkatan serta rakyat dan penduduknya sentiasa menikmati kehidupan yang aman dan sejahtera,” ujar beliau.

Bukan rakyat tempatan sahaja yang tidak melepaskan peluang untuk bersua muka dengan Baginda Sultan, malah pelancong-pelancong juga mengambil kesempatan untuk menghadiri majlis yang amat dinanti-nantikan itu.

Henry Arthur Thomas Liddell (tengah) bersama rakan-rakan tidak melepaskan peluang untuk menghadiri Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah tersebut.
Henry Arthur Thomas Liddell (tengah) bersama rakan-rakan tidak melepaskan peluang untuk menghadiri Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah tersebut.
Warga asing turut teruja bertemu Baginda Sultan.
Warga asing turut teruja bertemu Baginda Sultan.
Tiga wanita Cina ini tidak ketinggalan bersama-sama memeriahkan majlis Ramah Mesra.
Tiga wanita Cina ini tidak ketinggalan bersama-sama memeriahkan majlis Ramah Mesra.

Salah seorang pelancong yang ditemui, Henry Arthur Thomas Liddell dari United Kingdom memberitahu, beliau dan rakan-rakannya menyaksikan Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien yang dibanjiri orang ramai bagi sama-sama memeriahkan Hari Keputeraan Baginda Sultan.

Menurutnya lagi, beliau dan rakan-rakannya mengetahui mengenai perayaan berkenaan daripada seorang pemandu teksi tempatan semasa ingin menuju ke destinasi-destinasi menarik di negara ini.

“Setelah mengetahuinya, kami terus mengambil peluang untuk berada di taman sambil mengambil peluang bertemu Baginda Sultan semasa junjung ziarah,” jelasnya.

Mereka berada di negara ini selama tiga hari dan akan menuju ke Sabah, Malaysia sebagai destinasi pelancongan mereka seterusnya.

Ditanya mengenai Negara Brunei Darussalam, mereka berkata, Brunei merupakan sebuah negara yang harus dilindungi kerana ia mempunyai keunikannya yang tersendiri, mempunyai seorang pemimpin yang berwibawa, rendah diri, dan sangat sayang akan rakyatnya yang sanggup berkorban apa jua untuk rakyatnya, dan inilah ciri-ciri seorang raja yang harus dicontohi oleh negara-negara lain, tambahnya.

Wakil Progresif Cellular ketika ditemui pada majlis itu.
Wakil Progresif Cellular ketika ditemui pada majlis itu.

Sementara itu, wakil Progresif Cellular Sdn Bhd yang sempat ditemui pula berkata, pada majlis berkenaan, mereka menyembahkan kehadapan majlis Baginda Sultan mengenai dengan statistik perkembangan syarikat sejak penjenamaan baru dilancarkan.

“Sejak jenama baru dilancarkan, Syarikat Progresif semakin berkembang setiap masa. Syukur Alhamdulillah, dengan sokongan pegawai dan kakitangan seramai lebih daripada 200 orang, Progresif berjaya mengukir namanya di arena antarabangsa dengan memenangi dua anugerah”.

Azhani Daniel dari RB mengatakan pesambah adalah gambar Baginda Sultan bersama tiga juruterbang wanita.
Azhani Daniel dari RB mengatakan pesambah adalah gambar Baginda Sultan bersama tiga juruterbang wanita.
Warga RB bergambar di sebelah kek pesambah kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia di majlis itu.
Warga RB bergambar di sebelah kek pesambah kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia di majlis itu.

Ketua Perhubungan Korporat, Penerbangan Diraja Brunei, Dayang Azhani Daniel pula berkata, Syarikat Penerbangan Diraja (RB) setiap tahun tidak melepaskan peluang menyertai Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah Sempena Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia bagi Daerah Brunei dan Muara.

“Pada tahun ini Syarikat Penerbangan Diraja Brunei menyembahkan pesambah berupa sebuah potret sewaktu Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan menerbangkan pesawat Boeing bersama tiga juruterbang wanita,” ujarnya.