Beruang Blazers bangkit tebus kekecewaan

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Okt – Pasukan Brunei Darussalam yang diwakili oleh Beruang Blazers berjaya menebus kekecewaan perlawanan pembukaan dengan menewaskan Pasukan Miri King Kong 82-65, sementara Pasukan Pontianak Vois akur dengan kekalahan perlawanan kedua kepada Kuching Lord Tiger 49-85 di Cabaran Jemputan Grand Borneo di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.

Beruang Blazers berjaya menebus kekalahan 83-98 dalam perlawanan pertama menentang Kuching Lord Tiger, mendapat pujian ketua jurulatihnya, Rabboni Rosito.

Beliau yang ditemui selepas perlawanan semalam menyatakan rasa berbesar hati melihat pencapaian para pemain dan teruja melihat kerjasama yang dipamerkan oleh semua pemain.

Bahkan kerja berpasukan menjadi kunci kepada kejayaan untuk membuka laluan pasukannya ke peringkat seterusnya.

Antara aksi menarik dalam perlawanan antara Beruang Blazers dari Brunei Darussalam menentang Miri King Kong. – Gambar oleh Khairil Hassan

Rabboni juga memberikan pujian khas buat pemain Beruang Blazers, Jeff Viernes dalam peranan pentingnya membawa kepada kemenangan pasukan tuan rumah dan malah gembira dengan kesungguhan pemain-pemain lain dalam pasukan.

“Jeff membuktikan kredibilitinya dan bagi saya, beliau adalah pilihan tepat untuk memberikan semangat kepada pasukan kita untuk mennag ke atas Pasukan Miri King Kong hari ini (semalam),” ujarnya.