Beruang Blazers ke separuh akhir

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Okt – Pasukan tuan rumah, Beruang Blazers meraih kedudukan kedua dalam peringkat pertama Cabaran Jemputan Grand Borneo, sekali gus membolehkan pasukan itu bertemu Pasukan Miri King Kong buat kali kedua di peringkat separuh akhir Jumaat ini.

Kemaraan Pasukan Beruang Blazers berjaya menewaskan Pasukan Pontianak Vois dengan mata 58-41 di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas untuk menempah tiket ke peringkat separuh akhir kejohanan.

Pada suku pertama perlawanan menyaksikan kedua-dua pasukan lebih berhati-hati dan berkesudahan dengan 14-5. Namun permainan mula semakin sengit pada suku kedua apabila menyaksikan aksi berbalas-balas serangan di antara kedua-dua pasukan.

Pasukan Beruang Blazers terus garang dalam perlawanan itu apabila berjaya mendahului Pasukan Pontianak Vois dengan kelebihan 13 mata.

Pada suku terakhir, Beruang Blazers menjarakkan lagi kelebihan mereka sehingga 19 mata dan keputusan akhir perlawanan berpihak kepada Beruang Blazers 58-41.

Dalam satu lagi perlawanan, Pasukan Kuching Lord Tiger meneruskan penguasaannya di peringkat awal apabila membenam Pasukan Miri Kingkong dengan mata 96-95.

Berdasarkan keputusan semalam, Brunei Beruang Blazers akan berhadapan Pasukan Miri King Kong, manakala Pasukan Kuching Lord Tiger pula akan berhadapan Pontianak Vois Jumaat ini.