Beruang madu dilepaskan ke hutan

Beruang madu dilepaskan ke hutan

SANDAKAN, 29 Julai – Pusat Pemuliharaan Beruang Madu Borneo (BSBCC) melepaskan kembali seekor beruang madu betina ke hutan hujan Sabah dengan kerjasama Jabatan Hidupan Liar Sabah (SWD).

Setelah dibuat pemeriksaan perubatan terakhir oleh Dr Rosa Sipangkui daripada SWD, haiwan diberi nama Lawa itu dibawa dengan helikopter untuk dilepaskan di satu lokasi pada 25 Julai.

Apabila tiba di lokasi berkenaan, Lawa segera keluar daripada sangkar dan terus menghilangkan diri di dalam Hutan Simpan Hidupan Liar Tabin yang belum terusik keasliannya.

Lawa dipasang dengan kolar satelit GPS bagi membolehkan BSBCC memantau pergerakannya secara berkala.

Pengasas dan ketua pegawai eksekutif BSBCC Wong Siew Te dalam kenyataan di sini hari ini berkata Lawa dibawa ke BSBCC di Sepilok sebagai ‘anak yatim’ pada 2008 dan sejak itu haiwan berkenaan dipersiapkan untuk kembali ke hutan yang menjadi tempat asalnya.

“Dia menjalani latihan pemulihan selama lapan tahun, mempelajari semua kemahiran yang diperlukan untuk menjalani kehidupan di hutan tebal seperti membina sarang, mencari makan dan berdikari. – Bernama

Saat beruang berkenaan dilepaskan. - Bernama
Saat beruang berkenaan dilepaskan. – Bernama