Beruang madu kembali ke habitat asal

Beruang madu kembali ke habitat asal

SANDAKAN, 25 Mei (Bernama) – Selepas hampir lima tahun ditemui terbiar dalam hutan, seekor beruang madu betina bernama Natalie kembali ke habitat asal di kawasan hutan simpan hidupan liar berhampiran Lahad Datu pada 17 Mei lalu.

Pelepasan Natalie juga mencatat sejarah tersendiri kepada Pusat Pemuliharaan Beruang Madu Borneo (BSBCC) memandangkan ia merupakan beruang pertama dilepaskan ke habitat asal sejak pusat itu mula menerima dan menjaga beruang-beruang madu yang kehilangan induk sejak tujuh tahun lalu.

BSBCC dan Jabatan Hidupan Liar Sabah juga memantau pergerakan Natalie dan perkembangannya di Hutan Simpan Hidupan Liar Tabin melalui kolar satelit pada lehernya, selepas ia dibawa menggunakan helikopter dari Layang-Layang Aerospace Sdn Bhd ke kawasan pedalaman yang dilindungi, jauh dari penempatan dan ladang kelapa sawit.

Ketua pegawai eksekutif dan pengasas BSBCC Wong Siew Te berkata Natalie yang diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar Sabah di Lahad Datu oleh seorang penduduk tempatan pada Disember 2010 telah matang dan dewasa di bawah penjagaan pihaknya.