Berubah ke arah kebaikan

Berubah ke arah kebaikan

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Nov – Perubahan merupakan penghijrahan atau peralihan daripada satu keadaan kepada satu keadaan yang lebih baik untuk menjadi hamba Allah S.W.T yang beriman, melakukan apa yang diperintah dan meninggalkan segala amalan yang bertentangan dengan ajaran agama Islam.

Khatib dalam Khutbah Jumaat hari ini menekankan penghijrahan ke arah kecemerlangan hendaklah dilakukan dengan bersungguh-sungguh, bukannya hanya berangan-angan semata-mata.

“Jika ingin melaksanakan perubahan diri, hendaklah menilai beberapa aspek penting yang antaranya kemahuan untuk berubah, sanggup berkorban, bersemangat waja, mempunyai jati diri kuat dan berkeyakinan serta tidak mudah putus asa,” tegasnya.

Menurut khatib lagi, Allah S.W.T memberikan peringatan tentang perubahan diri, untuk membuat perubahan itu, bergantung pada diri sendiri. Sebagai umat Islam, peranan dan tanggungjawab masing-masing sebagai pemimpin perlu meletakkan kemantapan akidah, akhlak, ekonomi, sosial dan pembangunan negara untuk mencapai tamadun Islam.

“Segala unsur yang boleh menggugat keutuhan akidah, syariat akhlak umat Islam perlu dibanteras sebaik mungkin,” katanya.

Manakala, ibu bapa juga perlu meletakkan keharmonian rumah tangga sebagai satu matlamat dan jadikanlah rumah tangga sebagai syurga iaitu tempat yang penuh dengan ketenangan, kenikmatan dan kebahagian.

Khatib seterusnya menambah, segala budaya yang boleh merosakkan ahli keluarga perlu dihindarkan dan sebagai individu Muslim juga perlu meningkatkan diri untuk menjadi Muslim berkualiti dan berpotensi besar, profesional, berdaya tahan dan sentiasa menuju ke arah kemajuan agama dan ummah.

Dalam dunia globalisasi, jelas khatib, umat Islam tidak terlepas daripada menghadapi pelbagai cabaran dan mempertahan kesucian agama Islam.

Ini antaranya ialah dengan penyelewangan akidah dan syariat, pemalsuan fatwa, pencemaran dan kerosakan akhlak sama ada budaya yang dibawa dari Barat atau Timur.

Menurutnya lagi, pencemaran akhlak dan budaya ini boleh disebarkan melalui media massa, internet, buku dan majalah selain propaganda dan ideologi.

“Tanggungjawab di tangan kita bagi memastikan nilai budaya islam terpelihara dan terjaga dengan menyeru kepada kebaikan dan menghalang kemungkaran serta bertindak menghapuskan masalah sebelum masalah itu merebak dan berleluasa dalam masyarakat,” tegasnya.

Sehubungan itu, khatib menyeru supaya membuat perubahan dengan membiasakan diri dengan amal perbuatan yang betul untuk menjadi rutin dalam kehidupan.

“Perubahan diri dilakukan untuk tujuan kebaikan yang akan membawa banyak keuntungan tetapi jika sebaliknya akan membawa banyak kerugian dan kebinasaan,” tegasnya.

Dalam perkara ini, khatib seterusnya menekankan, supaya menjadikan perubahan sebagai asas untuk membina sebuah tamadun bangsa yang beretika dan bermaruah, hidupkan budaya Islam dalam setiap saat dan nafas kehidupan yang mana dengan cara ini kita akan menjadi satu ummah yang berjaya di dunia dan akhirat.

ARTIKEL YANG SAMA