Berusaha atasi masalah bekalan air

Berusaha atasi masalah bekalan air

RANAU, 18 Jun (Bernama) – Kerajaan Negeri Sabah sedang berusaha untuk mengatasi masalah bekalan air yang dihadapi penduduk di Ranau dan Kundasang akibat kejadian banjir lumpur susulan kejadian gempa bumi pada 5 Jun lepas.

Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman berkata Jabatan Air Negeri sedang bekerja keras untuk memulihkan bekalan air untuk penduduk di kawasan berkenaan.

“Saya telah diberi taklimat bahawa 60 peratus bekalan air di kawasan berkenaan akan kembali pulih seperti biasa menjelang tengah malam ini,” katanya di sini, hari ini.

Beliau diberikan taklimat oleh Timbalan Pengarah Jabatan Air Sabah Teo Chee Kong, selepas melawat Loji Rawatan Air Liwagu dan pusat pemindahan di Dewan Komuniti Ranau.

Ketua Menteri berkata beliau juga telah mengarahkan langkah kontingensi diambil untuk mengatasi masalah bekalan air itu.

Datuk Seri Musa Aman beramah mesra dengan penduduk ketika melakukan lawatan ke pusat pemindahan sementara di Dewan Mini Kundasang, kelmarin. – Bernama
Datuk Seri Musa Aman beramah mesra dengan penduduk ketika melakukan lawatan ke pusat pemindahan sementara di Dewan Mini Kundasang, kelmarin. – Bernama

Musa berkata dua unit Loji Pembersihan Air Minuman akan dipasang di pekan Ranau dan Kg Sinar di sini, esok.

“Kami faham kesulitan dihadapi rakyat susulan kejadian gempa bumi yang telah menjejaskan bekalan air,” katanya.

Beliau berkata setiap loji itu boleh mengeluarkan 24 tan air minuman setiap hari untuk kemudahan penduduk dan diberikan percuma.

“Loji ini merawat air mentah secara terus dari sungai dan membersihkannya menjadi air minuman yang menepati standard WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia),” katanya.

Katanya pada masa ini, pusat pengumpulan telah ditubuhkan untuk mengedarkan air botol termasuk yang disumbangkan oleh orang ramai.

Ketua Menteri berkata usaha sedang giat dijalankan untuk mengeluarkan batuan dan sampah sarap dari sungai-sungai yang menyebabkan loji rawatan air tersumbat dan mengakibatkan gangguan bekalan air.

Musa berkata kerajaan juga memantau keadaan banjir dan banjir lumpur di Kundasang iaitu di Kampung Mesilau dan telah memindahkan penduduk ke pusat-pusat pemindahan.

“Kami akan sentiasa bersama-sama penduduk di Ranau dan Kundasang. Kami akan melakukan yang terbaik untuk memulihkan keadaan agar kembali seperti biasa,” katanya.

Selepas melawat loji rawatan air di Sungai Liwagu, Musa melawat pusat pemindahan di Kundasang.