Berusaha jadi cemerlang

Berusaha jadi cemerlang

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 April – Pelajar diharap untuk terus berusaha dan jangan mudah puas hati dengan kejayaan yang dicapai tetapi terus berusaha hingga yang baik menjadi lebih baik dan lebih baik menjadi cemerlang.

Ini kerana, kecemerlangan atau kejayaan itu bukan mudah untuk dicapai atau dikecapi tanpa usaha dan pengorbanan, tegas Timbalan Menteri Pendidikan, Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Penyampaian Anugerah Pelajar Cemerlang Sekolah Menengah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (SM YSHHB) peringkat BC-GCE ‘O’ 2015, hari ini.

Beliau seterusnya berkata, kecemerlangan yang dicapai oleh pelajar adalah hasil usaha dan kegigihan mereka mengulang kaji pelajaran dan tidak dinafikan, kejayaan pelajar juga hasil penat lelah guru-guru, ibu bapa serta penjaga yang tidak jemu-jemu mendidik, memberikan dorongan dan sokongan terhadap pembelajaran anak-anak mereka.

Dalam ketekunan mencapai kecemerlangan, beliau mengingatkan pelajar supaya jangan lupa dan sentiasa menjunjung prinsip diri dan negara serta berpegang teguh pada ajaran agama, tanpa pegangan hidup dan pegangan beragama serta kawalan jati diri yang mantap akan memudahkan terjerumus dalam perkara yang tidak diingini.

Salah seorang pelajar menerima anugerah mereka dari pada Timbalan Menteri Pendidikan.
Salah seorang pelajar menerima anugerah mereka dari pada Timbalan Menteri Pendidikan.

pg10_160420_a

Antara yang hadir pada majlis itu.
Antara yang hadir pada majlis itu.

“Sebagai sekolah model, YSHHB bercita-cita untuk menjadi sebuah institusi pendidikan unik dan cemerlang di mana banyak usaha yang di laksanakan oleh sekolah untuk mencapai tujuan tersebut”.

Antara usaha-usaha tersebut, ujarnya, adalah mengenal pasti kekuatan pelajar, guru-guru, ibu bapa dan program sekolah yang antara lain bertujuan untuk memupuk kerjasama lebih erat dan lebih besar dalam kalangan pihak yang terlibat untuk mencapai sekolah.

Di samping itu, membina identiti dan keperibadian unik dalam kalangan pelajar SMYSHHB yang mencerminkan slogan sekolah ‘Sentiasa Berilmu, Cemerlang dan Soleh’.

Bukan setakat itu, tambahnya, untuk menjadi ‘Sekolah Pintar’ pihak sekolah telah menaik taraf sumber ICT dengan melengkapkan makmal sains dan bilik darjah, bilik khusus bagi setiap mata pelajaran dengan projektor dan ‘smart boards’.

Pada majlis itu, beliau turut menyempurnakan penyampaian anugerah kepada 44 orang pelajar dan Anugerah Pelajar Cemerlang 2015 kepada Awang Idlan Qayyum bin Abdul Mohaimin.

Terdahulu, majlis diserikan dengan persembahan pentas oleh pelajar-pelajar sekolah berkenaan.