Berusaha menyelesaikan masalah bersama detektif comel

APABILA disebut tentang Pokemon setentunya tergambar struktur Pikachu yang berbadan kecil, comel, berwarna kuning dan berupaya untuk melancarkan kuasa elektrik.

Hakikatnya terdapat ratusan spesies Pokemon telah diperkenalkan dari tahun 1996 sehingga kini oleh penciptanya, Satoshi Tajiri.

Menyedari akan populariti siri kartun animasi tersebut yang memiliki jutaan peminat di seluruh dunia telah mendorong pihak produksi, Creatures Inc dan The Pokemon Company untuk menerbitkan siri permainan video terbaru, Detektif Pikachu.

Pertemuan yang tidak terduga

Permainan video ini bermula dengan menampilkan seorang lelaki muda bernama Tim Goodman yang baru berpindah ke Bandaraya Rhyme dengan usaha untuk mencari ayahnya.

Dalam kembaranya itu, dia telah bertemu dengan satu entiti berwarna kuning dan berasa sangat terkejut apabila mendapati bahawa ia adalah Pikachu yang menggayakan pakaian seperti seorang detektif.

Pemain juga boleh berkomunikasi dengan masyarakat sekeliling untuk mendapatkan maklumat.
Tim Goodman akan bekerjasama mengembara bersama dengan Detektif Pikachu.

Lebih memeranjatkan lagi apabila, Pikachu tersebut mula bercakap dan ia turut difahami oleh lelaki muda itu.

Secara tiba-tiba, kekecohan mula berlaku apabila seorang kanak-kanak perempuan menangis tatkala rantainya telah dicuri oleh sekumpulan Aipom.

Dari situ, Tim Goodman dan Detektif Pikachu itu mula bekerjasama untuk menyelesaikan isu jenayah di sekitar bandar tersebut.

Bekerjasama asas kejayaan

Tidak seperti dalam kebanyakan siri permainan video Pokemon lain yang menuntut pemain untuk melalui aksi kembara ke seluruh kawasan demi memburu dan menangkap spesies Pokemon yang unik sekaligus mendaftarkannya ke dalam Pokedex.

Detektif Pikachu lebih menumpukan kepada karakter atau maskot Pokemon itu tersendiri yang berusaha bersama dengan temannya untuk menyelesaikan sesuatu masalah sekaligus menegakkan keadilan.

Berusaha untuk bekerjasama dalam menghadapi kembara penuh cabaran.

Justeru, pemain akan mengawal watak Detektif Pikachu yang berusaha untuk mengumpul klu-klu yang berguna, menyelidiki kawasan jenayah sekaligus berusaha untuk menyelesaikan sesuatu jenayah yang selalunya dilakukan oleh Pokemon lain.

Lebih istimewa lagi, apabila Pikachu yang ditampilkan dalam permainan video ini boleh bertutur dan ia difahami dengan baik oleh Tim Goodman namun tidak oleh manusia lain.

Bagaimanapun, Tim hanya boleh memahami apa yang dituturkan oleh Pikachu dan tidak pada bahasa yang dituturkan oleh Pokemon lain.

Maka, Pikachu secara automatik akan menjadi penterjemah kepada Tim dalam melaksanakan siasatan untuk mendapatkan informasi dari Pokemon lain.

Dalam keadaan untuk mempertahankan diri sewaktu berhadapan dengan Pokemon lain, Pikachu juga berpeluang untuk melancarkan kuasa istimewa yang dimilikinya seperti kuasa elektrik sebagai serangan kepada pihak lawan.

Sekiranya pemain adalah pengikut setia siri Pokemon atau ingin melalui kembara siasatan lain daripada yang lain jangan terlepas untuk mencubanya sendiri dalam Detektif Pikachu yang dikeluarkan untuk platform Nintendo 3DS. – Agensi