Berusaha, sumber rezeki itu luas

Berusaha, sumber rezeki itu luas

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Mac – Setiap manusia berkewajiban mencari rezeki bagi memenuhi keperluan kehidupan seharian seperti makanan, pakaian, tempat tinggal dan keperluan lain sama ada untuk diri sendiri atau orang yang berada di bawah tanggungannya.

Mencari rezeki itu merupakan ibadah kepada Allah kerana pengertian ibadah itu sebenarnya amat luas bukan hanya khusus pada ibadah sembahyang, puasa, zakat dan haji sahaja tetapi ia merangkumi segala bidang dalam aspek kehidupan dengan syarat semua itu didasarkan atas landasan iman dan takwa kepada Allah.

Khatib dalam Khutbah Jumaatnya hari ini berkata, terdapat banyak cara atau jalan yang boleh dilakukan dalam mencari rezeki, tidak semestinya hanya bergantung untuk bekerja dengan pihak kerajaan atau swasta tapi seseorang itu boleh berusaha untuk bekerja sendiri kerana sumber rezeki itu sangat luas.

Pada masa ini, ramai orang yang berusaha dengan gigih untuk berdikari hingga sanggup bekerja keras walaupun dengan pendapatan rendah atau pekerjaan itu tidak bersesuaian dengan kelulusan yang ada.

Apa yang penting jelas Khatib, gaji yang diperoleh itu halal, hasil usaha sendiri dan tidak bergantung kepada orang lain. Inilah sikap positif yang perlu dipuji dan contoh kepada semua orang.

Menurut Khatib lagi, orang yang bekerja mencari rezeki itu bukan hanya mendapat hasil daripada usahanya tetapi turut mendapat ganjaran dari Allah berupa kasih sayang dan pengampunan daripada-Nya.

Sebagai hamba Allah, kita hendaklah syukur dan memanfaatkan rezeki dikurniakan kepada kita dengan cara yang betul dan diredai Allah.

Menzahirkan rasa terima kasih dengan ucapan syukur atau alhamdulillah melalui lisan, tambah Khatib belum cukup atau memadai tetapi hendaklah disertai dengan perbuatan dan tindakan antaranya memanfaatkan rezeki yang diperoleh itu dengan cara betul dan sewajarnya.

Agama Islam telah mengajarkan cara mengurus harta dengan betul iaitu membelanjakannya untuk keperluan hidup seperti nafkah kepada orang yang berada dibawah tanggungan.

Selain itu digalakkan untuk membelanjakan kepada perkara berkebajikan seperti bersedekah, berwakaf, membantu fakir miskin dan orang yang di timpa bencana dan sebagainya.

“Manakala jika rezeki atau harta yang diperolehi itu telah memenuhi syarat-syarat untuk mengeluarkan zakat harta seperti hasil dagangan, tanaman, ternakan dan sebagainya, bersegeralah mengeluarkan zakat kerana di dalam harta yang dimiliki itu terdapat hak orang lain yang mesti segera tunaikan,” jelasnya.

Dalam berbelanja mestilah ada keseimbangan iaitu antara kadar pendapatan dan perbelanjaan sebagai contoh tidak wajar seseorang yang mempunyai pendapatan sebanyak sehari tapi berbelanja lebih pada pendapatan yang diterima.

Amalan tersebut, tambah Khatib lagi boleh menyebabkan krisis kedudukan ekonomi keluarga tidak terkawal dan boleh menyebabkan sampai berhutang.

Memang tidak salah berhutang tetapi Rasulullah S.A.W. sendiri tidak menggalakan umatnya berhutang dan selalu meminta perlindungan Allah supaya dijauhkan diri daripada bebanan hutang.

Khatib dalam Khutbahnya seterusnya menambah, berhutang itu adalah perkara yang senang dan mudah tetapi membayar balik hutang tersebut adalah perkara yang sukar.

Agama Islam telah mengajar cara berbelanja sebagaimana yang telah ditunjukkan dalam Al-Quran dan Sunnah Rasulullah S.A.W. iaitu hendaklah dengan cara yang sederhana, tidak berlebih-lebihan atau membazir apatah lagi sampai berhutang melebihi had kemampuan.

Mengamalkan sikap bersederhana dalam kehidupan dapat mengelakkan diri dari bersikap boros dan membazir dan kita juga akan dapat menyimpan atau menabung pendapatan yang diperolehi.

Amalan menabung adalah tindakan orang bijak merancang perbelanjaan mereka sebenarnya banyak faedah yang dapat diperoleh daripada tabiat menyimpan atau menabung antaranya ialah untuk meningkatkan ekonomi dan sebagai persediaan menghadapi keadaan yang tertentu.

“Ini terutama ketika menghadapi kesusahan, kecemasan dan sebagai persediaan pada masa hadapan,” tambahnya.

Sehubungan itu, Khatib menyeru untuk sama-sama mengurus harta mengikut lunas-lunas Islam untuk mencapai kebahagiaan, kesenangan dan kesejahteraan hidup.

Dengan mengamalkan sikap bersederhana dalam berbelanja dan bersyukur dengan nikmat Allah dapat mengukuhkan ekonomi keluarga, menjamin masa hadapan lebih baik sekali gus memantapkan ekonomi negara.

ARTIKEL YANG SAMA