Berwaspada dengan ruang siber

Berwaspada dengan ruang siber

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Mei – Kecanggihan teknologi yang bersifat serampang dua mata boleh digunakan dengan cara yang mendatangkan manfaat kepada penggunanya, namun ia boleh juga digunakan untuk tujuan yang negatif.

Sehubungan itu, sebagai pengguna teknologi itu, masyarakat negara ini harus sentiasa berwaspada dan sedar akan kandungan dan maklumat yang mereka peroleh daripada ruang siber kerana semua maklumat, sama ada yang baik buruk amat mudah diperoleh.

Perkara itu dijelaskan oleh Setiausaha Tetap (Media dan Kabinet) di Jabatan Perdana Menteri, Haji Mohd Rozan bin Dato Paduka Haji Mohd Yunos dalam ucapan perasmian Forum Media Sosial yang berlangsung di Bangunan AITI, Anggerek Desa, Berakas hari ini.

Katanya, antara kebaikan media sosial seperti Facebook adalah, ia membolehkan pengguna menjalinkan kembali hubungan silaturahim saudara atau rakan yang sudah lama terputus, sementara media sosial Linkedin membolehkan perangkaian di peringkat profesional.

Haji Mohd Rozan merasmikan pakej video pendidikan bertajuk Be Smart Online.
Haji Mohd Rozan merasmikan pakej video pendidikan bertajuk Be Smart Online.
ASP Muhammad Izzaldin menyampaikan taklimat mengenai jenayah di media sosial.
ASP Muhammad Izzaldin menyampaikan taklimat mengenai jenayah di media sosial.

Di samping itu, media sosial juga boleh digunakan sebagai saluran pemasaran yang mana ramai pengguna mendapati aplikasi media sosial boleh digunakan untuk mempromosi produk masing-masing, dan membekalkan maklumat dan berita terkini sebelum ia disiarkan di arus media perdana.

Sebaliknya, jelas beliau lagi, dari sudut negatif pengguna yang tidak bertanggungjawab sering menggunakan media sosial untuk aktiviti yang berbahaya seperti menyebarkan berita palsu, menghina orang lain serta mencetuskan kemarahan dan ketakutan orang ramai.

Haji Mohd Rozan seterusnya berkata, menangani media sosial merupakan satu tanggungjawab yang harus ditangani bersama dan berharap kesan daripada forum yang bermula daripada pihak-pihak yang berkepentingan akan mencapai kesepakatan dan objektif tentang bagaimana media sosial dapat dimanfaatkan oleh semua pihak.

Beliau turut menyatakan harapan agar forum itu dapat menghasilkan maklum balas membina bagi menggalakkan penggunaan media sosial yang lebih berkesan dalam usaha untuk mempertingkatkan lagi nilai-nilai dan aspirasi ke arah menjadi masyarakat yang bertanggungjawab.

Forum yang dianjurkan oleh Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi Brunei Darussalam (AITI) itu dihadiri oleh pengguna media sosial, wakil dari institusi pengajian dan universiti tempatan serta para pegawai dari jabatan kerajaan yang berkaitan.

Dua forum dibincangkan pada majlis itu dengan forum pertama bertajuk Jenayah di Rangkaian Sosial Brunei Darussalam, oleh ASP Muhammad Izzaldin Mohammad Osman dari Pasukan Polis Diraja Brunei; Undang-undang Media Sosial di Malaysia oleh Awang Ruzamri bin Ruwandio dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, Malaysia; dan Tatatertib Amalan Internet oleh Dayang Nur Syamimi binti Suhaimi dari AITI.

Forum kedua membawa tajuk perbincangan, iaitu Media Sosial Sebagai Platform Baru Untuk Menyebarkan Maklumat oleh Dayang Dewi Rinawati binti Mohd Sofri dari akhbar Brunei Times; Remaja dan Media Sosial oleh Awang Muhammad Azizan bin Abdul Razak dari Universiti Brunei Darussalam; dan Lindungi, Pastikan, Hubung oleh Awangku Mohd Farid Zulhusni bin Pengiran Aziz dari IT Protective Security Services Sdn Bhd.