Berwaspada ketika membuat aktiviti maritim

Berwaspada ketika membuat aktiviti maritim

KOTA KINABALU, 13 Mei (Bernama) – Orang ramai terutama pelopor aktiviti maritim diingatkan supaya lebih berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga ketika menggunakan laluan atau membuat aktiviti maritim, kata Panglima Wilayah Laut 2, Tentera Laut Diraja Malaysia Laksamana Muda Datuk Khairul Anuar Yahya.

Beliau berkata ini berikutan keadaan atau suasana di laut sukar dijangka dan boleh bertukar sekelip mata, termasuk arus kuat serta bergelora, yang boleh menyebabkan bot atau kapal digunakan karam.

“Kita perlu lebih berhati-hati apabila pergi ke laut,” katanya kepada pemberita semasa menunggu ketibaan empat individu yang dilaporkan hilang di kawasan perairan Pulau Balambangan, Kudat, pada 2 Mei lepas, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu di sini hari ini.

Khairul Anuar mengulas kejadian bot dinaiki mangsa terbabit yang karam dan mereka hanyut dibawa arus deras serta laut bergelora. Difahamkan kesemua mangsa hanyut dan diselamatkan oleh bot nelayan Vietnam di dalam kawasan perairan negara.

“Apa yang dialami mereka adalah sesuatu yang tidak dijangka. Kawasan yang mereka lalui itu adalah mencabar,” kata Khairul Anuar.