BESA bangkit tewaskan BSRC

BESA bangkit tewaskan BSRC

Oleh Hasrulraizan

 

TUTONG, 15 Mac – Dua gol pada separuh masa kedua menyelamatkan tiga mata buat BESA FC dalam kebangkitan menarik saingan Liga Perdana Brunei DST 2016 untuknya mencatat kemenangan 2-1 ke atas BSRC FC.

Pada perlawanan di Kompleks Sukan Tutong itu, BSRC FC mendahului 1-0 sehingga rehat hasil jaringan Haji Mohd Muizzudin Haji Bujang pada minit ke-30.

BESA FC berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-57 menerusi sumbangan Damong Haji Omarali. Gol kemenangannya hadir pada minit ke-75 yang dijaringkan oleh Hasmadi Wahid.

Perlawanan sengit itu telah dicemari dengan layangan kad merah kepada pemain BSRC FC, Amir Safwan Haji Salamat pada minit ke-82 selepas beliau mendapat kad kuning keduanya. Beliau ditunjukkan kad kuning pertama oleh pengadil pada minit ke-67, hanya tiga minit selepas rakannya, Aizudin Abdul Rahman mendapat kad kuning pertama.

BESA FC bangkit dari ketinggalan 0-1 untuk menang 2-1 ke atas BSRC FT dalam aksi Liga Perdana Brunei DST 2016 di KST.
BESA FC bangkit dari ketinggalan 0-1 untuk menang 2-1 ke atas BSRC FT dalam aksi Liga Perdana Brunei DST 2016 di KST.

Setakat ini baru dua perlawanan Liga Perdana dijalankan dengan perlawanan pertama antara Setia Perdana dengan Panchor Murai FC berkesudahan Setia Perdana menang 3-0.

Liga Perdana Brunei DST 2016 akan diteruskan lagi pada 18 Mac ini dengan dua perlawanan, yang kedua-duanya dijadualkan berlangsung pukul 4 petang, di dua tempat berasingan.

Di Padang & Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, pasukan yang turun dari Liga Super, Kilanas FC dijadualkan bertemu dengan pasukan yang baru saja menjuarai Liga Bolasepak Daerah Brunei dan Muara 2015, Al-Idrus Junior FT.

Sementara itu, di Kompleks Sukan Berakas, Menglait FC akan turun menentang pasukan yang dibarisi oleh pemain-pemain muda berbakat besar, Tabuan U-17.