Betatar, Lorong 5 juara Bola Tampar Terbuka 2015

Betatar, Lorong 5 juara Bola Tampar Terbuka 2015

Oleh Mohammad Abdullah

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Nov – Pasukan Betatar berjaya mengalahkan Pasukan PVEB dengan kedudukan 3-1 (16-25, 25-22, 27-25, 25-23) dalam perlawanan akhir Kejohanan Bola Tampar Terbuka 2015, sekali gus muncul juara bahagian wanita manakala Pasukan Revamp meraih tempat ketiga.

Dalam kategori lelaki pula, Pasukan Lorong 5 muncul juara setelah mengalahkan Pasukan Betatar 3-1 (25-23, 14-25, 25-20 dan 25-17) dalam kejohanan akhir manakala Pasukan Mawar Hitam mendapat tempat ketiga.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Naib Presiden Kedua BAVA, Dayang Marianah binti Abdullah Tujoh dan diselajurkan dengan penyampaian ‘Anugerah Role Model 2015’ kepada Setiausaha Agung dan jurulatih BAVA, Awang Zaini bin Haji Maidin atas sumbangan serta sokongan beliau yang tidak mengenal penat lelah dalam mengembang majukan sukan bola tampar di negara ini.

Kejohanan terbuka bola tampar yang telah diadakan sejak 3 Oktober lalu adalah salah satu usaha dan inisiatif untuk membangun serta memartabatkan lagi sukan bola tampar di negara ini oleh BAVA.

Pasukan Betatar yang muncul juara bergambar ramai bersama Naib Presiden Kedua BAVA, Dayang Marianah dan penerima ‘Anugerah Role Model 2015’, Awang Zaini.
Pasukan Betatar yang muncul juara bergambar ramai bersama Naib Presiden Kedua BAVA, Dayang Marianah dan penerima ‘Anugerah Role Model 2015’, Awang Zaini.

Menurut Dayang Marianah Abdullah Tujoh, sebanyak lima pasukan lelaki dan lima pasukan wanita menyertai kejohanan tersebut yang merupakan salah satu projek jangka pendek BAVA.

Beliau menyatakan bahawa BAVA berharap agar dapat mengadakan lebih banyak kejohanan di masa akan datang termasuklah sukan bola tampar remaja dan juga sukan bola tampar pantai.

Mereka yang berminat menyertai skim latihan bola tampar bagi tahun 2016 boleh mengunjungi Dewan Serbaguna Kompleks Stadium Negara Hassanal Bolkiah di Berakas di mana latihan lazimnya diadakan pada setiap malam Sabtu bermula jam 8:15.

Untuk mendapatkan keterangan lanjut sila layari laman sosial Facebook persatuan di alamat Brunei Amateur Volleyball Association.

ARTIKEL YANG SAMA