Beting Patinggi Ali selamat untuk nelayan tempatan

Beting Patinggi Ali selamat untuk nelayan tempatan

KUALA LUMPUR, 31 Mac (Bernama) – Kawasan perairan di Gugusan Beting Patinggi Ali, Sarawak yang terletak dalam Zon Ekonomi Eksklusif Malaysia dan kaya dengan sumber perikanan masih lagi selamat bagi nelayan tempatan, kata Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia(TLDM) Datuk Seri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin di sini.

Beliau berkata nelayan khasnya pemilik lesen perikanan laut dalam tidak perlu bimbang untuk meneruskan aktiviti penangkapan ikan di kawasan terbabit pada bila-bila masa.

“Perairan Sarawak adalah selamat, aman dan terkawal… saya saran persatuan nelayan kita untuk tingkat keupayaan mereka menangkap ikan di laut dalam bukan hanya di persisiran pantai, perlu berani dan tekad,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pemakaian Pangkat di sini hari ini.

Ahmad Kamarulzaman berkata demikian mengulas dakwaan lebih 100 bot nelayan asing yang menceroboh perairan negara di kawasan Beting Hempasan Banting, satu daripada beting dalam gugusan Beting Patinggi Ali sejak 24 Mac.

Datuk Seri Panglima Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin (tengah) beramah mesra bersama empat anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang dinaikkan pangkat ketika Majlis Kenaikan Pangkat Pegawai TLDM dan Sambutan Hari Lahir Warga TLDM Lembah Kelang di KD Sri Gombak kelmarin. – Bernama
Datuk Seri Panglima Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin (tengah) beramah mesra bersama empat anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang dinaikkan pangkat ketika Majlis Kenaikan Pangkat Pegawai TLDM dan Sambutan Hari Lahir Warga TLDM Lembah Kelang di KD Sri Gombak kelmarin. – Bernama

Menurutnya kawasan perairan lain negara juga selamat untuk aktiviti perikanan dan pemantauan berterusan daripada agensi berkaitan akan diteruskan dari semasa ke semasa.

Beting Patinggi Ali terletak kira-kira 80 batu nautika dari Tanjung Baram, Sarawak, berada dalam kawasan Zon Ekonomi Eksklusif Malaysia berdasarkan peruntukan Konvensyen Pertubuhan Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut 1982 (UNCLOS 1982).

Dalam pada itu, Ahmad Kamarulzaman berkata TLDM akan melaksanakan program Rakan Maritim (Rakam) di Sarawak sebagai inisiatif TLDM mendekati komuniti setempat.

Beliau berkata program berkenaan antara lain bertujuan memberi lebih pemahaman mengenai fungsi TLDM dan agensi maritim negara yang menjadi mata dan telinga kepada pasukan keselamatan maritim.