BFL maju setapak lagi

BFL maju setapak lagi

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Jun – Setiap pasukan yang menyertai Liga Futsal Brunei (BFL) bermula tahun ini telah disyaratkan untuk memiliki seorang jurulatih bertauliah yang diiktiraf dan telah mengikuti kursus kejurulatihan futsal anjuran NFABD.

Untuk itulah Kursus Futsal FIFA Kedua dianjurkan oleh NFABD bermula hari ini dengan harapan akan dapat melahirkan jurulatih yang benar-benar komited, proaktif, bersedia dan sanggup meluangkan masa untuk berkhidmat kepada kelab-kelab dalam BFL tahun depan dan Piala Futsal Perdana 2015 yang akan bermula Ogos ini.

Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) NFABD, Haji Mohd Noor Bin Haji Hamid dalam ucapan perasmiannya menyeru para jurulatih supaya membentuk pemain daripada peringkat akar umbi bagi pasukan futsal kerana ia satu keperluan bagi negara dalam melahirkan pemain futsal muda yang berbakat dan berpotensi untuk dijadikan sebagai skuad pelapis.

“Ini juga sebagai persiapan pasukan futsal kita untuk menyertai kejohanan peringkat AFF dan AFC yang dianjurkan setiap dua tahun sekali,” tambahnya lagi pada Majlis Pembukaan Rasmi Kursus Futsal FIFA Ke-2, 2015 di NFABD House pagi ini berkenaan.

Tsang Wai Chung berucap semasa mengendalikan Kursus Futsal FIFA II anjuran NFABD semalam.
Tsang Wai Chung berucap semasa mengendalikan Kursus Futsal FIFA II anjuran NFABD semalam.

Beliau seterusnya berkata bahawa dengan adanya komitmen dari para jurulatih futsal itu nanti peluang mereka untuk menjadi jurulatih, penolong jurulatih dan pembantu jurulatih untuk pasukan futsal kebangsaan adalah terbuka luas.

Seramai 31 orang telah mendaftar untuk menyertai kursus yang bermula hari ini hingga 15 Jun nanti yang menampilkan Instruktor FIFA, Tsang Wai Cung dari Hong Kong itu.

Lima belas peserta dari Daerah Brunei Muara, enam dari Daerah Belait, seorang dari Daerah Tutong, dua dari Daerah Temburong, empat daripada Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan tiga daripada Kementerian Pendidikan.

Kursus futsal FIFA yang pertama telah diadakan oleh NFABD pada September 2014 dan berjaya melahirkan jurulatih yang telah bergiat aktif melatih pasukan yang telah bersaing dalam BFL 2015 yang baru sahaja berakhir malam tadi.

ARTIKEL YANG SAMA