BGC anjur majlis berbuka

BGC anjur majlis berbuka

Oleh Yusrin Junaidi

Gambar oleh Bahyiah Bakir

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Jun – Seramai 80 orang berkeperluan khas dari Pusat KACA dan Pusat Bahagia, hari ini, telah menghadiri Majlis Berbuka Puasa anjuran Brunei Gas Carrier (BGC) Sdn Bhd di Tarindak D’Seni, Jalan Kota Batu.

Pengarah Urusan BGC, Haji Shahbudin bin Haji Musa berkata, majlis itu adalah salah satu program daripada inisiatif pelaburan sosial BGC bertujuan untuk mengeratkan silaturahim dan memupuk sifat keprihatinan kepada masyarakat.

Peluang beramah mesra dengan warga dari Pusat KACA dan Pusat Bahagia ini diharap akan dapat memperkayakan lagi nilai-nilai keperibadian kakitangan BGC selaras dengan nilai korporat yang digalakkan, untuk menyemai rasa tanggungjawab, berkebajikan, menitikberatkan keikhlasan, hormat-menghormati dan berprihatin antara satu sama lain, ujar beliau.

Haji Shahbudin berkata pada tahun ini satu inisiatif baru turut dianjurkan bersama-sama Majlis Berbuka Puasa ini, iaitu inisiatif Projek Wakaf bagi menyahut seruan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk menyumbang kepada masyarakat melalui wakaf.

“Alhamdulillah, inisiatif berkenaan telah mendapat sambutan yang cukup menggalakkan daripada kakitangan BGC, yang mana hampir keseluruhan warga BGC menghulurkan sumbangan ikhlas tersebut.

Haji Shahbudin menyampaikan sumbangan wakaf kepada wakil dari pusat-pusat berkenaan.
Haji Shahbudin menyampaikan sumbangan wakaf kepada wakil dari pusat-pusat berkenaan.
Antara orang yang berkeperluan khas dari Pusat KACA dan Pusat Bahagia ketika menerima sumbangan.
Antara orang yang berkeperluan khas dari Pusat KACA dan Pusat Bahagia ketika menerima sumbangan.

“Dua minggu yang lepas juga, BGC telah menganjurkan projek amali melalui inisiatif pelaburan sosial syarikat, yang bertujuan untuk memupuk sikap keprihatinan ke atas masyarakat yang memerlukan bantuan,” ujarnya.

Projek itu bukan saja menghulurkan sumbangan dalam bentuk barangan, malahan ia lebih kepada mendekati masyarakat sambil menanamkan keinsafan dan sikap sentiasa gemar berbuat amal kebajikan, tambahnya agi.

Majlis itu turut diselajurkan dengan penyampaian sumbangan kepada 80 orang berkeperluan khas dan penyerahan barangan wakaf khas berupa kerusi roda, set televisyen, pemain DVD yang disampaikan oleh pengarah urusan BGC.

Hadir menerima barangan wakaf berkenaan ialah pengarah urusan Pusat KACA dan penolong pengarah Pusat Bahagia.

Pada majlis itu, persembahan nasyid daripada Kumpulan Firqah Ulfah Raudhah turut memeriahkan suasana dan doa selamat turut dibacakan bagi memohon keberkatanNya.

ARTIKEL YANG SAMA