BGC sambut ketibaan kapal kelima ‘Kelas A’

BGC sambut ketibaan kapal kelima ‘Kelas A’

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

SERIA, 28 Julai – Brunei Gas Carriers (BGC) secara rasminya menyambut ketibaan kapal kelima “Kelas A”, kelmarin, dan ia juga telah melengkapkan hasrat mereka untuk menggantikan kapal Kelas B yang lama dimiliki oleh Syarikat Perkapalan Brunei Shell (BST).

Penghantaran kapal Amadi sebesar 154,800 meter padu itu berikutan ketibaan kapal kembarnya Amani pada bulan November lalu, dan kedua-dua kapal berkenaan telah dibina oleh Industri Hyundai Heavy di Korea Selatan sebagai sebahagian daripada kontrak bernilai lebih AS$ 350 Juta.

Pengarah Urusan BGC, Haji Shahbudin bin Haji Musa berkata, pemerolehan daripada lima kapal “Kelas A” itu adalah selari dengan program strategik pengangkutan Gas Cecair Asli (LNG) untuk memodenkan dan menempatkan perkhidmatannya.

Menurutnya, Amani dan Amadi adalah kapal keempat dan kelima merupakan sebahagian daripada keseluruhan rancangan bagi menggantikan Kapal BST “Kelas B” yang mempunyai kapasiti yang lebih kecil untuk mengangkut LNG dan sudah berusia 40 tahun.

Bercakap semasa majlis menyambut ketibaan secara rasmi kapal berkenaan di Brunei LNG kelmarin, Haji Shahbudin juga menyatakan, walaupun BGC dan BST pemegang saham yang sama, Kerajaan Brunei mempunyai peruntukkan saham yang lebih besar di bawah BGC, dan menambah, BGC adalah 80 peratus milik Kerajaan, dengan 10 peratus saham masing-masing kepada Shell Gas B.V dan Diamond Gas Carries B.V (Mitsubishi), manakala BST 50 peratus adalah milik kerajaan, dengan 25 peratus kepada Shell dan Mitsubishi.

Kapal terbaru BGC “Kelas A” Amadi disambut secara rasmi ketibaannya ke negara ini kelmarin.
Kapal terbaru BGC “Kelas A” Amadi disambut secara rasmi ketibaannya ke negara ini kelmarin.

Beliau juga memberitahu bahawa LNG akan berterusan menjadi niche pasaran, sebagai menerima dan memproses cecair gas daripada pelabur besar yang memerlukan kemudahan, biasanya hanya yang diberikan oleh negara-negara maju, seperti negara Jepun yang merupakan pelanggan utama mereka.

Kapal Amadi 10 tingkat yang bernilai AS$183 juta itu, pada masa ini mempunyai 33 daripada 34 anak kapal adalah anak tempatan dengan dua orang pekerja asing yang membantu.

“Setelah mencapai sejumlah 97 peratus anak kapal di kalangan anak-anak tempatan, ia juga satu pencapaian yang dapat dibanggakan, dengan mengambil kira keseluruhan kapal milik BGC, purata kira-kira 280 anak kapal adalah sekitar 80 peratus adalah anak-anak tempatan,” tambah Haji Shahbudin.

Sementara itu Kapten Kapal Amadi, Awang Abdul Mateen bin Abdurrahman Liew dan Ketua Jurutera Eng Yih Chih merupakan antara kumpulan pertama kadet pada tahun 1990-an, meningkat jawatan perlahan-lahan sebelum menjadi yang berkedudukan pertama di BGC apabila berjaya menerajui Amani tahun lepas.

Menurut Kapten Abdul Mateen, dengan menjadi kapten Brunei pertama di bawah BGC adalah satu pencapaian yang besar, dan salah satu yang tidak dapat dilakukan tanpa pengorbanan dan kesediaan untuk belajar lebih dalam pekerjaan.

“Orang selalu menganggap bahawa saya datang dari latar belakang akademik yang cemerlang, tetapi ia bukan hanya disebabkan itu, yang naik melalui jawatan di sini adalah mereka yang cepat belajar, dapat menyesuaikan diri dengan cepat, dan mempunyai ketahanan diri yang tinggi,” katanya.

Kapal tersebut yang telah mengambil masa selama 18 bulan pembinaannya, dikuasakan oleh bahan api dual iaitu diesel dan enjin elektrik yang dapat mengeluarkan pancaran kurang 23 peratus karbon dioksida daripada kapal dikuasakan oleh minyak bahan api berat.

Majlis menyambut rasmi kapal tersebut telah dihadiri oleh Setiausaha Tetap di Jabatan Tenaga, Jabatan Perdana Menteri Dato Paduka Haji Jamain bin Haji Julaihi dan hadir sama ialah Pengarah Urusan Syarikat Brunei LNG Sendirian Berhad Awang Mohamad bin Haji Damit, yang juga telah melawat persekitaran kapal diiringi oleh kapten kapal itu.