BIACC raikan 92 anak yatim

BIACC raikan 92 anak yatim

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Julai – Sempena ulang tahun penubuhannya yang ke-15, dan dalam mengambil keberkatan di bulan Ramadan ini, Syarikat BIACC Sdn Bhd telah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran dan Iftar bersama-sama anak-anak yatim, di Restoran Tarindak D’Seni, baru-baru ini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pengarah Urusan BIACC, Awang Ariffin bin Haji Emran, yang turut menyempurnakan penyampaian sumbangan derma daripada syarikat berkenaan kepada 92 orang anak yatim yang diraikan di majlis itu.

Menurut kenyataan BIACC, majlis turut diisikan dengan ceramah khas bertajuk “Keberkatan Menunaikan Pekerjaan Dengan Keikhlasan” yang disampaikan oleh penceramah undangan dari Pusat Dakwah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama. Drs Haji Ismuhadi bin Haji Abdullah.

Di antara tujuan majlis itu adalah untuk menyemarakkan lagi suasana bulan Ramadan Al-Mubarak dengan penuh kegembiraan serta kegemilangan terisi dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dan mengagungkan serta memartabatkan kesucian Al-Quran itu sendiri.

Pengarah Urusan BIACC menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim.
Pengarah Urusan BIACC menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim.

Majlis juga dihasratkan sebagai satu landasan atau platform untuk menjalin suasana harmoni serta dapat mengeratkan lagi tali silaturahim di antara kakitangan di semua peringkat di syarikat berkenaan di samping tidak melupakan orang-orang yang kurang bernasib baik di negara ini.

ARTIKEL YANG SAMA