Biaggi pelumba tiket wildcard WSBK

Biaggi pelumba tiket wildcard WSBK

PETALING JAYA, 1 Julai (Bernama) – Sepang International Circuit (SIC) mengumumkan bekas juara super-bike dunia sebanyak dua kali, Max Biaggi sebagai pelumba ‘wildcard’ pada pusingan ke-10 Kejuaraan Superbike Dunia FIM (WSBK) 2015 di Litar SIC, Sepang dari 31 Julai hingga 2 Ogos ini.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali menyifatkan keputusan legenda Itali itu untuk bersaing di Malaysia sebagai pengiktirafan besar untuk sukan permotoran di negara ini.

Beliau berkata pihaknya teruja dengan persetujuan Biaggi untuk menerima tawaran untuk berlumba atas tiket wildcard di bawah pasukan SIC Aprilla.

“Beliau ada seorang pelumba legenda yang bukan sahaja menerima banyak anugerah dalam perlumbaan motosikal malah turut membuat sumbangan besar kepada sukan ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran perlumbaan pusingan ke-10 itu di sini, malam ini.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Mirza Mohammad Taiyab. Hadir sama Pengerusi SIC, Tan Sri Mokhzani Tun Dr Mahathir.

Pada majlis itu, SIC turut memperkenalkan trofi baharu rasmi yang direka bentuk oleh Royal Selangor. Biaggi, 44, yang bersara selepas merangkul gelaran kedua superbike dunia pada 2012, merupakan ikon kerana merangkul gelaran dunia sebanyak empat kali dalam kelas 250cc antara 1994 dan 1997 sebelum beralih ke kelas 500cc.

Selepas merangkul sejumlah 42 kemenangan MotoGP, Biaggi, yang dikenali sebagai ‘Roman Emperor’, kemudian beralih ke Kejuaraan WBSK di mana beliau meraih gelaran dunia sebanyak dua kali iaitu pada 2010 dan 2012 di bawah pasukan Aprilia.

ARTIKEL YANG SAMA