Biar Sederhana

Biar Sederhana

Oleh Salawati Haji Yahya

Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 April – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah menegaskan, pada setiap tahun jawatankuasa bersidang atau bermesyuarat tetapi jarang atau mungkin juga belum pernah membincangkan secara serius mengenai pembaziran dan adanya idea untuk menyederhanakan persiapan sambutan.

“Bukanlah kerana ekonomi global bermasalah maka kita bercakap mengenai pembaziran. Sama ada ekonomi bermasalah atau pun tidak, pembaziran tetap wajib dielakkan,” titah Baginda.

Baginda menekankan perkara tersebut dalam titah pada Mesyuarat Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang ke-70 bagi tahun 2016 di Jabatan Perdana Menteri, hari ini.

Titah Baginda lagi, “Kita selama ini hanya tahu berbelanja dan mengumpul wang untuk perayaan dengan apa juga cara termasuk mengutip atau mengadakan dana derma bagi membiayai perayaan sehingga pada suatu masa dulu kita sering menyaksikan menteri atau lain-lain pegawai menerima derma daripada pelbagai pihak. Ini sangatlah tidak menyenangkan.

Baginda Sultan berkenan mengurniakan titah pada Mesyuarat Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Hari Keputeraan di Jabatan Perdana Menteri, semalam.
Baginda Sultan berkenan mengurniakan titah pada Mesyuarat Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Hari Keputeraan di Jabatan Perdana Menteri, semalam.

“Walau bagaimanapun, Beta terus memuji kemurahan para penderma tetapi buat apa mereka disusahkan kerana perayaan. Lainlah kalau mereka itu misalnya dipelawa untuk sama-sama meringankan beban rakyat yang susah tetapi bukan diminta untuk menderma bagi mengadakan perayaan secara besar-besaran.

“Apa yang Beta perhatikan apabila wang ada ditambah lagi dengan adanya kemudahan untuk mendapatkan tajaan, maka mulalah orang berbelanja sakan.

“Gerbang-gerbang pun didirikan di sana sini. Gambar-gambar Beta juga turut dipamerkan di merata tempat dengan pelbagai bentuk frame termasuk memakai frame-frame iklan yang sedia ada.

“Tapi gerbang bila-bila boleh dikurangkan. Tidak ada masalah atau kalau saiz gerbang yang dirancang sangat besar, apa salahnya dikurangkan menjadi sederhana saja,” titah Baginda lagi.

Ketika menyentuh cara berbelanja sama ada oleh Jawatankuasa Kebangsaan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan atau Jawatankuasa Menyambut Hari Kebangsaan, Baginda bertitah: “Kedua-dua itu perlulah lebih beringat-ingat kerana ada masanya, habis saja perayaan, jawatankuasa didapati belum menjelaskan sebahagian bayaran dalam makna masih ada hutang tertunggak.

“Mengapa ini berlaku? Bukankah setiap jawatankuasa itu telah diberikan peruntukan khas? Apakah peruntukan itu tidak cukup?” titah Baginda.

Baginda seterusnya bertitah, “Tidak patut berbangkit peruntukan tidak cukup. Ini bukan projek membuat jalan raya atau membina jambatan atau bangunan. Ini cuma setakat mengadakan sambutan di mana kita boleh anggarkan bajet dan boleh diselaraskan secukupnya.

“Sebab itu, Beta tidak mesti boleh, tidak mesti boleh berbangkit peruntukan tidak cukup dan tidak sepatutnya jawatankuasa mempunyai hutang tertunggak selepas perayaan.”

Baginda dalam titahnya menjelaskan, hutang tertunggak itu pula ceritanya agak aneh di mana ia tidak akan dibayar kecuali mesti menunggu peruntukan baru bagi perayaan tahun berikutnya.

“Dalam makna, kalau tahun 2016 berhutang, maka tahun 2017 baru membayar dengan menggunakan peruntukan 2017. Ini ternyata sudah menyimpang. Sayugia perkara seperti ini janganlah dijadikan amalan,” titah Baginda lagi.

Baginda dalam titahnya melihat sambutan tradisi ini memang baik dan mustahak, sebab itu ia perlu diteruskan dan di dalamnya terdapat mesej yang perlu disampaikan terutama sekali melalui titah di singgahsana.

Selain itu, perhimpunan bersama rakyat merupakan satu wadah unik untuk merapatkan hubungan raja dengan rakyat dan memberi peluang kepada rakyat berniaga malam semasa menyambut Hari Keputeraan seperti biasa.

Ini semua titah Baginda, tidak diragukan lagi besar kepentingannya dan selaku bangsa yang berkah akidah dan berbudaya, semua bentuk sambutan mestilah diperinci dan dikenal pasti sukat-sukat dan kriteria.

“Ini dalam makna tidak boleh selarah-larah atau semata-mata hanya mengikutkan kemahuan hati saja,” titah Baginda.

Baginda seterusnya menegaskan, bersuka ria itu memerlukan batas atau perenggannya, tidak mesti dengan cara berabis. Kalau kita berjaya menghidupkan suasana kerayaan walau dalam bentuknya yang sederhana, maka  itu sudah cukup bangus dan memadai.

Titah Baginda lagi, “Kita tidaklah perlu berbelanja besar untuk memuaskan hati, lebih-lebih lagi dengan berbelanja besar itu boleh ditakuti membawa kepada pembaziran, sedang pembaziran itu dilarang keras oleh agama.

“Di sinilah pertimbangannya itu mustahak ada dan inilah antara tanggungjawab penting jawatankuasa dan menyerahkan semua itu kepada jawatankuasa,” titah Baginda lagi.

ARTIKEL YANG SAMA