BIBD anjur seminar PKS

BIBD anjur seminar PKS

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Nov – Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) telah menganjurkan seminar setengah hari bagi pelanggan-pelanggan Perbankan Korporatnya di Hotel Times di Berakas, baru-baru ini.

Diketuai oleh Bahagian Perbankan Korporat, acara yang diadakan setiap tahun itu bertindak sebagai platform bagi pelanggan-pelanggan BIBD untuk mengetahui lebih lanjut lagi mengenai tawaran terkini bank tersebut termasuk produk-produk pembiayaan perdagangan dan solusi pembayaran digital inovatif, semuanya dikhususkan untuk membantu perkembangan perusahaan anak tempatan.

Menurut kenyataan BIBD yang diterima hari ini, seminar yang dihadiri lebih daripada 35 pelanggan korporat dan Perusahan Kecil dan Sederhana (PKS-SME) BIBD itu meliputi perbincangan seperti Al Wakalah Letter of Credit, Al Murabaha Letter of Credit dan Al Khafala Bank Guarantee begitu juga dengan Perbankan Internet Korporat dan pembayaran dalam talian.

Pengurus Kanan di Unit Pemasaran Korporat, Bahagian Korporat Perbankan, Pengiran Sanusi Iskandar bin Pengiran Haji Ismail dalam kenyataan itu berkata, “Kami bersama kerajaan dalam usaha melengkapkan PKS Brunei dengan pemahaman lebih baik mengenai produk-produk dan perkhidmatan terbaru bank untuk membantu mereka mengembangkan perusahaan mereka dalam dan luar negara.

Lebih 35 pelanggan korporat dan PKS menghadiri seminar anjuran BIBD di Hotel Times di Berakas.
Lebih 35 pelanggan korporat dan PKS menghadiri seminar anjuran BIBD di Hotel Times di Berakas.

“Di BIBD, kami menawarkan pembiayaan holistik dan penyelesaian perusahaan yang menjadikan kami sebagai pilihan pertama pelanggan,” ujarnya.

Menurut Pengiran Sanusi Iskandar lagi, “Kami berharap sumbangan kami hari ini, dalam membantu visi Brunei 2035, akan membantu meningkatkan pengetahuan kewangan terhadap pengusaha-pengusaha Brunei dan membangunkan lebih banyak perniagaan dan ketua-ketua industri di Negara Brunei Darussalam.”

Dilancarkan oleh Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah pada April 2006, BIBD SME 360 memberikan solusi perbankan menyeluruh yang melengkapi keperluan perniagaan, terutamanya PKS dan melibatkan hubungan pasukan pengurusan, penyelesai kewangan dan pembayaran digital.

ARTIKEL YANG SAMA