BIBD bank paling kukuh di Brunei

BIBD bank paling kukuh di Brunei

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Okt – Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), baru-baru ini, telah diumumkan sebagai bank paling kukuh di Brunei oleh The Asian Banker (TAB) dan salah sebuah bank paling kukuh di Asia Pasifik setara dengan bank-bank terkemuka antarabangsa dari Hong Kong, Malaysia dan China.

Dalam senarai 500 buah Bank-Bank Paling Kukuh Asia Pasifik berdasarkan Kunci Kira-kira, BIBD kekal menjadi satu-satunya bank Brunei yang disenaraikan dalam ranking 500 institusi kewangan terkemuka Asia Pasifik, TAB, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh BIBD, di sini, hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, dengan mata agregat mantap, BIBD juga mencatatkan markah tinggi dalam asetnya di atas GDP, Kecairan, Nisbah Kecukupan Kredit, sementara mencatatkan markah tinggi dalam Nisbah Pembiayaan–Deposit, dan Nisbah Pulangan Aset.

BIBD menduduki tempat ke-14 antara bank-bank paling kukuh di Asia Pasifik bagi tahun 2016.

Pengiktirafan yang diberikan kepada BIBD, penyedia utama maklumat strategik mengenai industri perkhidmatan kewangan di rantau ini, adalah berdasarkan kunci kira-kira 2016 bank berkenaan.

Anugerah itu adalah pengiktirafan ketiga BIBD daripada TAB tahun ini selepas menerima Bank Runcit Terbaik di Brunei dan Projek Cawangan Pintar Terbaik di rantau ini.

Menurut TAB, BIBD telah mengekalkan tahap tinggi kecairan dengan permodalan mantap dan nisbah kos pendapatan sihat yang berperanan penting dalam prestasi cemerlang bank berkenaan.

Bank Paling Kukuh TAB adalah penilaian tahunan prestasi kewangan dan perniagaan industri perbankan komersial di rantau Asia Pasifik. Penilaian itu menentukan kedudukan bank-bank yang berprestasi terbaik di setiap negara mengikut kekukuhan, penilaian berdasarkan kepercayaan bahawa bank kukuh memperlihatkan keuntungan jangka panjang daripada perniagaan terasnya.

ARTIKEL YANG SAMA