BIBD, bank paling selamat

BIBD, bank paling selamat

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Sept – Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), baru-baru ini, telah diumumkan sebagai bank paling selamat di negara ini oleh majalah tersohor Global Finance.

Setiap tahun Global Finance akan memilih bank-bank melalui penilaian terhadap mata wang asing jangka panjang dari Moody’s, Standard & Poor’s, dan Fitch dan jumlah aset di antara 1,000 bank terbesar di seluruh dunia.

“Setiap negara mempunyai landskap ekonomi yang unik dengan undang-undang, risiko dan tabiat pengguna yang tersendiri,” kata penerbit Global Finance dan pengarah editorial Joseph D. Giarraputo.

“Bank mesti menyesuaikan pendekatan mereka untuk memenuhi keperluan asas pelanggan tertentu sementara menyediakan keseragaman dan kestabilan merentasi sempadan.

“Orang-orang yang boleh memanfaatkan data dan teknologi untuk menyediakan penyelesaian selamat akan mengatasi rakan-rakan mereka.

“Senarai kami menawarkan kepada para pelabur dan syarikat-syarikat dengan alat yang konsisten untuk mengenal pasti bank-bank paling selamat di negara-negara tertentu.”

Ranking tersebut telah wujud selama lebih 20 tahun dan mengambil penarafan kredit jangka panjang institusi kewangan untuk menyusun ranking bank paling selamat di dunia.

Ranking itu juga memberikan maklumat yang berguna kepada pelanggan dalam perbankan runcit, korporat dan pelabur mengenai mana-mana pertubuhan dengan dasar pengurusan risiko yang berhemat jika mencari rakan pelaburan dan perdagangan rentas sempadan.

Majalah Global Finance yang diasaskan pada tahun 1987, mempunyai ramai pembaca yang termasuk pegawai korporat dan kewangan kanan di 191 buah negara yang bertanggungjawab untuk membuat pelaburan dan keputusan strategik dalam syarikat-syarikat multinasional dan institusi kewangan.

Laman sesawangnya GFMag.com pula menawarkan analisis dan artikel daripada 29 tahun pengalaman dalam pasaran kewangan antarabangsa. Global Finance beribu pejabat di New York dengan pejabat-pejabat di seluruh dunia. Global Finance kerap memilih bank terbaik daripada kalangan bank dan pembekal perkhidmatan kewangan yang lain dan anugerah ini telah menjadi satu standard yang kecemerlangan yang dipercayai oleh seluruh komuniti kewangan global.

ARTIKEL YANG SAMA