BIBD beraya bersama pelajar Program ALAF

BIBD beraya bersama pelajar Program ALAF

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Ogos – Program Galakan Pembelajaran Sepanjang Hayat Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD ALAF) dihasratkan untuk membantu para pelajar yang dipilih menyertai program berkenaan untuk meneruskan pendidikan mereka sehingga ke peringkat lanjutan atau universiti yang mana menerusi program itu, mereka menerima bantuan pembiayaan pendidikan supaya dapat mengikuti pendidikan dengan sebaik-baiknya sehingga ke peringkat pendidikan lanjutan.

Dalam hubungan itu, BIBD menyambut Hari Raya bersama kira-kira 90 pelajar dari Program ALAF di majlis yang berlangsung di Dewan Serba Guna, Maktab Sultan Omar Ali Saifuddien, hari ini.

Hadir di majlis berkenaan ialah Ketua Institusi Perbankan BIBD, Haji Minorhadi bin Haji Mirhassan; Pemangku Ketua Pengarah Pendidikan, Haji Abdul Rahim binDerus; Pemangku Pengarah Sekolah-Sekolah, Awang Zaman bin Haji Gapar; Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Hajah Rusita binti Haji Yahya, pegawai dan kakitangan dari BIBD, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Di majlis berkenaan, Haji Minorhadi menyampaikan sumbangan Hari Raya kepada pelajar-pelajar ALAF sebelum bergambar ramai dengan mereka.

Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat BIBD, Hajah Nurul Akmar binti Haji Mohd Jaafar di majlis berkenaan, menyatakan bahawa majlis itu memberikan peluang bagi mereka bukan sahaja untuk sama-sama meraikan Sambutan Hari Raya Aidilfitri dengan para pelajar ALAF tetapi memberikan peluang untuk mengetahui mengenai perkembangan mereka.

Haji Minorhadi menyampaikan sumbangan Hari Raya kepada para pelajar program ALAF yang diraikan.
Haji Minorhadi menyampaikan sumbangan Hari Raya kepada para pelajar program ALAF yang diraikan.
Di antara pelajar ALAF yang diraikan di majlis itu.
Di antara pelajar ALAF yang diraikan di majlis itu.

Program ALAF yang dilancarkan pada Mei 2013 oleh Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah, di mana ia diwujudkan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan bagi memastikan kerjasama rapat antara kedua-dua belah pihak supaya pelaksanaannya serta peruntukan bantuan untuk Program ALAF dapat dikendalikan dengan jayanya.

Pada masa yang sama, program itu mendapat sokongan daripada Jabatan Pendidikan Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama yang mana pada masa ini, program itu mempunyai hampir 100 orang pelajar di bawahnya.

Orang ramai yang ingin menyumbang ke Tabung ALAF BIBD boleh membuat sumbangan derma minimum sebanyak $1.01 ke dalam akaun ALAF BIBD, 1018181811.

Sumbangan juga boleh dibuat dengan mudah melalui rangkaian BIBD yang sedia ada seperti laman sesawang BIBD Online, aplikasi BIBD Mobile, BIBD ATM dan CDM atau kaunter-kaunter cawangan BIBD.

Orang ramai juga boleh membuat arahan tetap BIBD bagi memastikan bahawa sumbangan bulanan dapat disalurkan ke dalam tabung ALAF. Di samping itu, bagi pemegang akaun BIBD, mereka juga boleh mengumpul mata Hadiah BIBD dengan membuat sumbangan ke dalam akaun Tabung ALAF.