BIBD bersungkai bersama pelanggan korporat

BIBD bersungkai bersama pelanggan korporat

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Jun – Seramai 800 pelanggan Institusi Korporat dan Perdana Privilege Perbankan, BIBD hari ini menghadiri majlis bersungkai sebagai tanda penghargaan atas sokongan mereka terhadap bank berkenaan.

Pada majlis yang berlangsung di Indera Samudera Grand Hall, The Empire Hotel & Country Club itu, Pengarah Urusan BIBD, Javed Ahmad menjelaskan, BIBD melalui inisiatif yang di bawah Tanggungjawab Sosial Korporatnya sentiasa peka dan prihatin terhadap keperluan dan keadaan masyarakat sekeliling.

Katanya lagi, pada awal tahun ini, BIBD melalui Program Galakan Pembelajaran Sepanjang Hayat (ALAF) menerima kemasukan seramai 33 orang pelajar dari keluarga yang kurang bernasib baik.

Program ini ditubuhkan khusus bagi membantu dan memberi peluang kepada pelajar berkenaan untuk terus kekal dan maju dalam pelajaran dari awal hingga tamat pengajian tinggi.

Di samping itu, BIBD juga buat julung kalinya menganjurkan Kem Modal Insan ALAF bagi pelajar program itu yang bertujuan memberi pengajaran bermanfaat dalam kemahiran hidup serta membina keupayaan dan keyakinan diri dalam berkomunikasi.

Antara tetamu khas yang hadir di majlis bersungkai anjuran BIBD kelmarin.
Antara tetamu khas yang hadir di majlis bersungkai anjuran BIBD kelmarin.
Javed Ahmad menyampaikan ucapannya.
Javed Ahmad menyampaikan ucapannya.

“Kem ini juga berfungsi untuk menanam sifat rasa menghargai terhadap matlamat dan peluang yang disediakan dalam program ALAF dan supaya pelajar dapat mencapai potensi sepenuhnya dalam pembelajaran mereka,” tambahnya.

Selain itu, tanggungjawab Sosial Korporat BIBD melalui kerjasama serta sumbangan dari pihak pengurusan dan kakitangan BIBD pada awal bulan ini telah membuat kunjungan ke lebih 100 buah keluarga yang kurang berkemampuan untuk menghulurkan bantuan berbentuk makanan dan pakaian.

Menurutnya lagi, baru-baru ini, BIBD telah bekerjasama dengan Jabatan Pembangunan Masyarakat di bawah Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan dalam menghulurkan sumbangan kepada lebih lima ribu anak-anak yatim di seluruh Negara.

Usaha ini, katanya, bertujuan untuk meringankan bebanan keluarga dan memberikan keceriaan kepada anak-anak yatim di Negara ini dalam sama-sama menyambut bulan Ramadhan dan Syawal yang akan tiba.

Menurut Javed, inisiatif transformasi BIBD yang dilancarkan pada tahun 2013, kerja-kerja menaik taraf dan pengubahsuaian masih giat dilaksanakan secara berperingkat. Pengubahsuaian bagi cawangan Seria dan The Mall Gadong telah berjaya dilaksanakan dan ini diikuti dengan pemindahan dan pengubahsuaian cawangan Manggis dan Lapangan Terbang pada tahun ini.

Menurutnya lagi, kerja pengubahsuaian ini telah memasuki fasa akhir dan ia dilanjutkan ke cawangan Utama BIBD yang mana akan membawa perubahan penting terhadap suasana landskap Bandar Seri Begawan. Selain pengubahsuaian dan menaik taraf itu, BIBD baru-baru ini telah melancarkan Lounge BIBD Perdana Privilege Banking (PPB) yang kedua terletak di Daerah Belait.

“BIBD berharap akan dapat membuka lebih banyak lounge PPB pada masa akan datang bagi menampung keperluan yang semakin meningkat,” jelasnya.

Turut hadir di majlis bersungkai itu, ahli Lembaga Pengarah Urusan dan Penasihat Badan Syariah dan Ketua Pegawai Kewangan BIBD selaku Timbalan Pengarah Urusan Hajah Noraini binti Haji Sulaiman.

ARTIKEL YANG SAMA