BIBD cawangan terpintar

BIBD cawangan terpintar

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Mei – Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), baru-baru ini, telah dianugerahkan Projek Cawangan Pintar Terbaik di rantau ini pada Anugerah Inovasi Teknologi, The Asian Banker (TAB).

Penyampaian anugerah berkenaan berlangsung pada Majlis Makan Malam Anugerah Pencapaian Perniagaan Tahunan TAB yang diadakan di JW Marriott Hanoi, Vietnam.

Hadir menerima anugerah penting itu bagi pihak BIBD ialah Ketua Pegawai Operasi, Dr Gyorgy Ladics.

Mengulas mengenai anugerah itu dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini, Pengarah Urusan BIBD, Mubashar Khokhar melahirkan penghargaan kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bagi wawasannya memandang ke hadapan dengan membentuk masa depan Brunei Darussalam.

“Di samping itu, kami berterima kasih kepada kerajaan dan pihak perundangan yang berkaitan, serta rakyat Brunei Darussalam bagi kepercayaan dan sokongan mereka bagi membolehkan BIBD berkembang menjadi bank yang wujud pada masa ini.

Wakil BIBD semasa menerima Anugerah Pencapaian Perniagaan Tahunan The Asian Banker yang diadakan di JW Marriott Hanoi, Vietnam.
Wakil BIBD semasa menerima Anugerah Pencapaian Perniagaan Tahunan The Asian Banker yang diadakan di JW Marriott Hanoi, Vietnam.

“Kami akan terus berusaha ke arah mewujudkan perkhidmatan contoh dan akan sentiasa mengatasi batasan demi kemudahan pelanggan kami. Pada masa yang sama, kami berbangga dan rendah hati diiktiraf bagi memenangi anugerah Cawangan Pintar Terbaik di rantau ini kerana kejayaan ini menjadi bukti kepada semua orang yang dilaksanakan ke arah menjadi pilihan pertama bagi pelanggan kami,” beliau dipetik sebagai berkata.

TAB yang merupakan perunding penyelidikan, penandaarasan dan risikan perkhidmatan kewangan terkemuka di rantau ini pula menyatakan bahawa BIBD, di samping rakan teknologinya Silverlake SDE, dipuji kerana platform perbankan digitalnya dengan proses tanpa kertas dan jualan bersepadu, yang memperbaiki pengalaman pelanggan.

Pelaksanaannya telah mengurangkan rangka waktu dan aktiviti-aktiviti pentadbiran, yang membolehkan kakitangan lebih fokus kepada jualan dan mempamerkan produk-produk.

TAB juga memetik ciri-ciri unik BIBD iaitu konsep ‘bakul membeli-belah’ untuk membolehkan pelanggan ‘memilih’ akaun dan perkhidmatan, e-brosur pemasaran dan video demonstrasi. Ini juga membolehkan pengumpulan data yang mudah bagi maklumat pelanggan.

BIBD dalam kenyataannya menjelaskan, Program Anugerah Inovasi Teknologi TAB, yang diadili oleh pengurus-pengurus bank, konsultan IT dan ahli-ahli akademik terkemuka, memberikan penandaarasan pelaksanaan teknologi yang tidak dapat dipertikaikan lagi dalam pasaran yang semakin sengit.

Setiap tahun, program berkenaan menarik jumlah besar penyertaan, menggambarkan pelbagai penyelesaian inovatif yang menunjukkan bagaimana IT boleh memberikan faedah penting kepada perniagaan perbankan.

Proses penilaian yang ketat selama tiga bulan menentukan pemenang-pemenang dari seluruh Asia Pasifik, Timur Tengah dan Afrika.

Para pemenang diraikan pada majlis gilang-gemilang yang mengiktiraf usaha-usaha mereka dalam menggunakan teknologi terbaik untuk menjalankan institusi-institusi mereka dan membawakan produk-produk dan perkhidmatan superior kepada pelanggan.

ARTIKEL YANG SAMA