BIBD di tangga 38 bank terbaik dunia

BIBD di tangga 38 bank terbaik dunia

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Julai – Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) telah disenaraikan di tangga ke-38, meningkat dari tangga 42 sebelum ini, dari segi kekukuhan nisbah kecukupan modal, dalam ranking 1000 Bank Terbaik Dunia yang dikeluarkan oleh majalah The Banker baru-baru ini.

Pada tahun ini, BIBD terus kekal sebagai satu-satunya bank Brunei untuk mewakili negara ini dalam penyenaraian tahunan bank-bank terbaik dunia.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh BIBD di sini, bank tersebut juga mengekalkan ranking keseluruhan yang baik pada kedudukan 740 dalam kalangan kumpulan bank-bank terbaik selain berada di kedudukan mengagumkan di tangga ke-144 dari segi Pulangan ke atas Aset-aset, sekali gus memberi gambaran terhadap kecekapan pengurusan BIBD dalam menggunakan asset-asetnya untuk menjana pendapatan.

Majalah The Banker yang dimiliki oleh The Financial Times, ditubuhkan pada 1926 dan memulakan ranking bank-bank pada 1970. The Banker adalah majalah sumber kewangan dan perbankan terkemuka dunia, menyediakan maklumat-maklumat kewangan global sejak 1926.

The Banker juga merupakan sumber utama bagi data-data dan analisis untuk industri kewangan dan perbankan.

Ranking 1000 Bank Terbaik Dunia The Banker telah meletakkan penanda aras kepada industri tersebut sejak 1970, menyediakan laporan-laporan komprehensif mengenai kekukuhan dan kekayaan sektor perbankan.

Menurut kenyataan itu lagi, pangkalan data The Banker menyediakan data-data kewangan yang komprehensif, saluran berita dan juga data hubungan eksekutif mengenai bank-bank terkemuka di setiap negara. Data-data majalah itu telah diseragamkan bagi laporan serantau dan variasi pengawalseliaan, serta membentuk asas bagi ranking bulanan bank The Banker.

Semenjak lima dekad yang lalu, ranking tersebut telah menjadi standard industri bagi mengukur prestasi dan kekukuhan bank-bank. Pangkalan data The Banker menyorot bank-bank di lebih 190 bidang kuasa mewakili 90 peratus keseluruhan aset perbankan dunia.

ARTIKEL YANG SAMA