BIBD jadi tumpuan pencari kerja

BIBD jadi tumpuan pencari kerja

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Nov – Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) telah menerima sambutan yang menggalakkan daripada pencari kerja semasa Pesta Kerjaya 2016 anjuran Jabatan Tenaga dan Perindustrian di Jabatan Perdana Menteri yang telah berakhir semalam.

BIBD dalam kenyataannya di sini, hari ini, sebagai institusi kewangan utama Brunei, penyertaan di pesta kerjaya itu menggambarkan komitmen mereka untuk menjadi majikan yang prihatin, menyediakan peluang-peluang kerja yang memuaskan dalam menyokong inisiatif Jabatan Tenaga dan Perindustrian.
Menurut kenyataan itu lagi, di petak-petak pameran BIBD para pengunjung mendapat maklumat langsung daripada Divisyen Sumber-sumber Manusia bank berkenaan mengenai proses permohonan, perkembangan kerjaya, jawatan-jawatan kosong dan program-program penempatan industri.

Pemangku Ketua Sumber Manusia dan Modal Insan, Hajah Dayang Nora’ain binti Haji Awang Besar dipetik sebagai berkata, “Penekanan kami ke atas pembangunan bakat dan kecemerlangan mentakrifkan kekuatan BIBD, kerana kami percaya bahawa ia memainkan peranan penting dalam menjadikan bank kami pilihan pertama bagi pelanggan kami dan stakeholder.

“Pada hari pembukaan Pesta Kerjaya sahaja, kami menerima lebih daripada 100 permohonan yang menggambarkan minat mendalam rakyat Brunei dan kebanggaan untuk bekerja dengan bank tempatan mereka sendiri sebagai bank pilihan pertama bagi bakat-bakat baru dalam pasaran ini,” ujarnya.

Menggemakan maklum balas positif daripada pengunjung pada Pesta Kerjaya itu ialah Menteri Tenaga dan Perindustrian di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Datu Singamanteri Kolonel (B) Dato Seri Setia (Dr.) Haji Mohd Yasmin bin Haji Umar yang memuji BIBD bagi penyertaannya dan sumbangannya kepada pembangunan bakat tempatan. Dengan lebih daripada 700 orang pekerja, BIBD merupakan majikan terbesar Brunei dalam industri perkhidmatan kewangan tempatan.

Menteri Tenaga dan Perindustrian di Jabatan Perdana Menteri ketika berkunjung ke petak BIBD baru-baru ini.
Menteri Tenaga dan Perindustrian di Jabatan Perdana Menteri ketika berkunjung ke petak BIBD baru-baru ini.