BIBD kekalkan penarafan-A S&P

BIBD kekalkan penarafan-A S&P

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Julai – Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) mengekalkan penarafan-A yang kuat daripada agensi penarafan kredit terkemuka antarabangsa Standard & Poor (S&P) untuk kedudukan sama seperti pada Oktober 2015.

Kedudukan tersebut adalah yang paling tinggi untuk sebuah bank di negara ini dan setanding dengan bank-bank besar yang lain di ASEAN, sekali gus mengiktiraf kekuatan kewangan dan modal BIBD.

Penarafan-A oleh S&P mencerminkan penilaian kuat dan keuntungan BIBD yang lebih baik daripada purata industri, sekali gus menggambarkan kestabilan perniagaan dan menerajui pasaran utama di negara ini. Nisbah mudah tunai BIBD juga lebih kuat berbanding beberapa rakan-rakan global.

Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Paduka Haji Bahrin bin Abdullah dalam kapasiti beliau sebagai Pengerusi BIBD mengulas, “Bagi pihak Lembaga Pengarah, kami amat berbesar hati dengan penarafan antarabangsa tentang keupayaan kami kerana ia menguatkan kedudukan kami sebagai sebuah institusi kewangan terkemuka yang menyokong pertumbuhan dan aspirasi negara ini dan pemegang kepentingan antarabangsa.

“Pada masa yang sama, ia juga akan membantu kami mengukuhkan kelayakan BIBD sebagai sebuah institusi Islam tempatan dengan pengiktirafan global, dengan pekerja berkemahiran dan berpendidikan tinggi serta boleh dipercayai untuk menyokong ekonomi yang dinamik dan mapan selaras dengan Wawasan Brunei 2035.

Sementara itu, Pengarah Urusan BIBD, Mubashar Khokhar ketika mengulas mengenai kepentingan penarafan itu berkata, “Penarafan S&P membuktikan sokongan pelanggan dan pemegang kepentingan yang kukuh seperti mana kakitangan kami yang memberikan komitmen berterusan untuk mencapai misi menjadikan BIBD sebagai bank pilihan pertama pelanggan, pemegang kepentingan dan para pekerja.

“Kami tetap komited untuk terus memberikan perhatian kepada daya maju kewangan dan kekuatan kami di samping menumpukan kepada memajukan rangkaian produk melalui inovasi, teknologi dan perkhidmatan pelanggan bagi membolehkan kami terus menyediakan produk dan perkhidmatan yang selamat dan bertanggungjawab kepada semua pelanggan kewangan kami.

“Saya amat menghargai pemikiran ke hadapan para pemimpin negara ini dalam mewujudkan dasar-dasar properniagaan untuk menyokong pembangunan perniagaan untuk ekonomi negara.

“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Lembaga Pengarah dan Badan Penasihat Syariah di atas bimbingan mereka dan kepada pasukan pengurusan dan kakitangan bank yang berdedikasi di atas pencapaian ini,” kata Mubashar lagi.