BIBD kongsi manfaat kewangan Islam

BIBD kongsi manfaat kewangan Islam

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Jun – Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), selaku bank pengerusi Persatuan Antara Bank China-ASEAN (CAIBA) pada masa ini, baru-baru ini telah menyampaikan pembentangan mengenai kewangan Islam bagi para pegawai daripada anggota CAIBA serta pengawal atur kewangan dari negara-negara CLMV (Kemboja, Laos, Myanmar dan Vietnam).

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh BIBD, di sini, hari ini, pembentangan berkenaan disampaikan semasa seminar empat hari berhubung Kerjasama Kewangan dan Pengurusan Risiko, yang dianjurkan oleh Bank Pembangunan China (CDB) pada 26 hingga 29 Mei lalu, dan telah dirasmikan oleh Timbalan Presiden CDB, Yuan Li.

Dalam ucapan alu-aluannya, Ketua Perbankan Institusi BIBD, Haji Minorhadi bin Haji Mirhassan, bagi mewakili pengerusi CAIBA dan Pengarah Urusan BIBD, Javed Ahmad, berkata perbincangan utama sepanjang seminar adalah isu-isu baru yang dibincangkan di seluruh dunia.

“Program yang dianjurkan oleh CDB ini boleh digunakan sebagai platform ke arah meningkatkan tahap kerjasama dalam kalangan anggota-anggota CAIBA, serta memberi peluang kepada anggota-anggota untuk meluaskan rangkaian mesra bersama para pengawal atur.

“Usaha kami di sini adalah untuk mewujudkan kesedaran dan meningkatkan kefahaman dan profil kewangan Islam, terutamanya dalam kalangan negara-negara anggota CAIBA, supaya semua orang boleh mengongsi manfaatnya,” ujar beliau.

Seminar empat hari berhubung Kerjasama Kewangan dan Pengurusan Risiko, dianjurkan oleh CDB pada 26 hingga 29 Mei lalu, di Beijing.
Seminar empat hari berhubung Kerjasama Kewangan dan Pengurusan Risiko, dianjurkan oleh CDB pada 26 hingga 29 Mei lalu, di Beijing.

Menurut kenyataan itu, tema utama program itu meliputi lima bidang utama iaitu Reformasi Ekonomi dan Kewangan, Pengurusan Risiko dan Penyeliaan Kewangan, Sokongan Kewangan bagi Pembangunan Ekonomi dan Sosial, Pembangunan Ekonomi Serantau dan Kerjasama Kewangan, serta Amalan Sokongan Kewangan kepada Pembangunan Ekonomi dan Sosial.

Seminar ini juga sebahagian daripada cadangan yang telah ditandatangani oleh anggota-anggota CAIBA bagi mewujudkan perkongsian latihan dan pengalaman di bawah rangka CAIBA.

Program ini juga termasuk kombinasi pembentangan, bengkel dan sesi perbincangan panel, yang diikuti dengan lawatan kerja ke Taman Industri Suzhou (SIP) untuk melihat lebih dekat tentang peranan penting dan amalan kewangan pembangunan yang disokong oleh CDB.

Sehari sebelum seminar, BIBD juga mengadakan pembentangan mengenai pengenalan kewangan Islam khusus bagi kira-kira 40 pegawai kanan CDB dari ibu pejabatnya dan wakil cawangan di seluruh China.

Usaha ini adalah sebahagian daripada perjanjian rangka kerjasama dua hala yang telah ditandatangani antara BIBD dan CDB dalam tahun 2011.

Pembentangan telah disampaikan Timbalan Bersama Bendahari BIBD, Syed Alwi Alkaff.

ARTIKEL YANG SAMA