BIBD lancar SME 360

BIBD lancar SME 360

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Sept – Pengusaha-pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan kini boleh mendapatkan bukan sahaja perkhidmatan perbankan tetapi juga khidmat nasihat perniagaan mereka di cawangan bank khusus atau cawangan sehenti apabila Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) melancarkan cawangan eksklusif pertama SME 360 di Cawangan Seri BIBD, G3 dan G4, Plaza Tumasek, Jalan Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, di sini, hari ini.

Pelancaran cawangan khusus SME 360 pertama itu merupakan usaha berterusan BIBD untuk memberikan kemudahan kepada perkembangan dan pembangunan PKS di Negara Brunei Darussalam serta memenuhi keperluan perbankan bagi pelanggan-pelanggan PKS.

Pelancarannya telah disempurnakan oleh Menteri Pembangunan dan Pengerusi BIBD, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Bahrin bin Abdullah.

Turut hadir ialah Pengarah Urusan BIBD, Mubashar Khokhar; Pengarah Urusan Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD), Awang Yusof bin Haji Abdul Rahman; Ketua Pegawai Eksekutif Darussalam Enterprise (DARE), Loo Yau Soon, pegawai-pegawai kanan dari AMBD, DARE, Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi, ahli-ahli Lembaga BIBD dan ahli-ahli Badan Penasihat Syariah, pihak pengurusan dan kakitangan BIBD serta pelanggan-pelanggan PKS BIBD.

Dalam kata alu-aluannya, Mubashar Khokhar berkata, sejak pelancaran SME 360 pada April lalu, ia telah banyak memberikan tumpuan kepada perkembangan PKS di Brunei dan juga berusaha untuk mempromosi serta mengembangkan lagi sektor PKS tempatan.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Bahrin menandatangani plak pelancaran SME 360, disaksikan oleh Mubashar Khokhar.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Bahrin menandatangani plak pelancaran SME 360, disaksikan oleh Mubashar Khokhar.
Dato Seri Setia Haji Bahrin diberikan penerangan mengenai perkhidmatan dan kemudahan yang terdapat di Cawangan SME 360.
Dato Seri Setia Haji Bahrin diberikan penerangan mengenai perkhidmatan dan kemudahan yang terdapat di Cawangan SME 360.

Beliau juga mendedahkan bahawa sejak pelancaran SME 360 itu, BIBD juga telah mencatatkan sebanyak 900 akaun PKS baru telah dibuka bersama bank berkenaan untuk memanfaatkan perkhidmatan serta produk khusus PKS yang ditawarkan.

Menyentuh mengenai SME 360, beliau berkata, ia adalah untuk memberikan tumpuan dan dedikasi kepada keperluan perbankan pelanggan PKS mereka.

Beliau juga menyatakan bahawa harapan BIBD seterusnya bagi SME 360 adalah pembukaan cawangan SME 360

di keempat-empat daerah di Negara Brunei Darussalam untuk memberikan kemudahan kepada semua pengusaha PKS tempatan di seluruh negara.

Sementara itu, Pengurus Kanan Unit Pasaran dan Perkembangan Korporat, Bahagian Perbankan Korporat BIBD, Pengiran Sanusi Iskandar bin Pengiran Haji Ismail berkata, pelancaran cawangan SME 360 itu merupakan kesinambungan kepada pelancaran SME 360 pada April lalu.

Dato Seri Setia Haji Bahrin bergambar ramai setelah menyempurnakan perasmian cawangan SME 360 pertama.
Dato Seri Setia Haji Bahrin bergambar ramai setelah menyempurnakan perasmian cawangan SME 360 pertama.

Beliau menambah, pelancaran cawangan khusus SME 360 merupakan usaha berterusan BIBD untuk memberikan kemudahan kepada pelanggan-pelanggan PKS mereka serta menjadi cawangan sehenti bagi keperluan perbankan atau transaksi pelanggan-pelanggan PKS bank berkenaan seperti pengurusan kewangan, aplikasi bagi penyelesaian digital dan juga khidmat nasihat perniagaan.

Beliau berkata bahawa cawangan SME 360 itu merupakan bank yang bukan sahaja menawarkan perkhidmatan dan produk bagi pelanggan-pelanggan PKS tetapi juga menawarkan perkhidmatan serta produk bagi pasaran perbankan runcit.

Namun begitu, beliau berkata, tumpuan bagi cawangan berkenaan adalah bagi memberikan kemudahan dan memenuhi keperluan perbankan bagi pelanggan-pelanggan PKS bank berkenaan.

Beliau menyatakan harapan, dengan pelancaran cawangan BIBD khusus SME 360 itu, ia akan menarik minat lebih ramai pengusaha PKS untuk mendapatkan produk, perkhidmatan dan khidmat nasihat perbankan yang sesuai bagi keperluan PKS mereka.

Cawangan SME 360 yang pertama itu, mempunyai dua buah kaunter PKS khusus, tiga buah kaunter perkhidmatan khusus dan sebuah kaunter perkhidmatan umum bagi memudahkan urusan perbankan bagi PKS dan korporat.

Pelancarannya merupakan sebahagian daripada usaha BIBD untuk membantu mencapai visi negara dalam membangunkan ekonomi negara yang mapan dan dinamik.

ARTIKEL YANG SAMA