BIBD lantik pengarah urusan baru

BIBD lantik pengarah urusan baru

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Dis – Lembaga Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), hari ini, mengumumkan pelantikan Mubashar Khokhar sebagai Pengarah Urusannya yang baru, berkuat kuasa dari 30 November 2015.

Menurut kenyataan BIBD, beliau akan mengambil alih tugas Javed Ahmad yang akan meninggalkan BIBD pada 29 Disember 2015 selepas berjaya memimpin bank berkenaan sejak 2008.

Menteri Pembangunan juga selaku Pengerusi Lembaga Pengarah BIBD, Yang Berhormat Dato Paduka Haji Bahrin bin Abdullah, dipetik sebagai berkata, Khokhar akan membawa bersamanya pengetahuan dan pengalaman antarabangsa lebih 30 tahun dalam industri kewangan, yang sesuai dengan pelan bercita-cita tinggi BIBD untuk membawanya ke peringkat seterusnya.

“Mubashar mempunyai pengetahuan mendalam mengenai industri kewangan Islam dan terbukti dengan pengalaman eksekutif di seluruh 15 pasaran maju dan membangun, termasuk Amerika Syarikat, Eropah, Asia, Afrika dan Majlis Kerjasama Teluk.

“Beliau akan terus memacu transformasi dan agenda penambahbaikan berterusan yang telah kami tetapkan bagi bank, untuk menjana pulangan baik bagi pemegang saham kami, sementara itu terus menyediakan pelanggan kami dengan perkhidmatan kewangan Islam bertaraf dunia,” ujarnya.

Mubashar Khokhar dilantik sebagai Pengarah Urusan baru BIBD yang berkuat kuasa dari 30 November 2015.
Mubashar Khokhar dilantik sebagai Pengarah Urusan baru BIBD yang berkuat kuasa dari 30 November 2015.

Sebelum BIBD, Khokhar merupakan pengarah urusan di Fajr Capital, Dubai, iaitu sebuah firma pelaburan utama dan ketua pegawai eksekutif Ajman Bank, yang disenaraikan sebagai bank menurut Syariah serta berkhidmat sebagai ketua pegawai eksekutif Badr Al-Islami/Mashreq Al-Islami iaitu subsidiari penuh Mashreq Bank.

Di bawah kepimpinannya, Ajman Bank telah menerima pengiktirafan industri yang meluas, termasuk anugerah Bank Domestik Terbaik 2011. Beliau memulakan kerjayanya dengan American Express dan Bank Amerika.

Yang Berhormat Dato Paduka Haji Bahrin juga mengucapkan terima kasih kepada Javed Ahmad atas sumbangannya sepanjang memegang tampuk pimpinan BIBD.

Menurut beliau, Javed Ahmad mempunyai peranan besar dalam transformasi BIBD menjadi bank terbesar Brunei Darussalam dan institusi kewangan Islam kemegahan negara ini, memberi khidmat kepada lebih daripada 30 peratus pasaran Brunei.

Beberapa kejayaan telah dicatatkan sepanjang kepimpinannya di BIBD, termasuk pelaksanaan penjenamaan semula bank berkenaan pada 2013, pengenalan inovasi-inovasi dan teknologi perbankan pilot, serta pengembangan serantau bank berkenaan ke Singapura.

BIBD juga telah menerima pelbagai pengiktirafan antarabangsa di bawah kepimpinan Javed Ahmad, termasuk rating kredit A- (Stabil) yang mengagumkan di Negara Brunei Darussalam dan antara yang tertinggi di Asia Tenggara, yang diberikan oleh agensi rating kredit antarabangsa Standard & Poor’s.

ARTIKEL YANG SAMA