BIBD perkenal Visa payWave

BIBD perkenal Visa payWave

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Feb – Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), hari ini, telah memperkenalkan Kad Kredit Visa BIBD Tanpa Sentuh (Contactless) yang dikuasai teknologi Visa payWave bagi membantu para pelanggan untuk membuat urus niaga dengan cepat dan mudah.

Kad kredit Visa tanpa sentuh pertama yang mengikut syariah ini dilancarkan di bawah dua jenis kad iaitu BIBD Visa Platinum dan BIBD Visa Gold.

Pelancarannya telah diadakan di Dewan Terindak D’Seni di ibu negara dan disempurnakan oleh Timbalan Perbankan Pengguna BIBD, Hajah Nurul Akmar binti Haji Mohd Ja’afar.

Turut hadir ialah Ketua Produk-produk Kad, Dayang Siti Rafeah binti Haji Jakir serta para pegawai dan kakitangan BIBD.

Hajah Nurul Akmar dalam ucapannya berkata, terdapat permintaan baru bagi pembayaran elektronik menerusi gabungan Internet dan teknologi mudah alih.

Hajah Nurul Akmar (kiri) bersama Siti Rafeah (kanan) ketika melancarkan kad tersebut.
Hajah Nurul Akmar (kiri) bersama Siti Rafeah (kanan) ketika melancarkan kad tersebut.

“Para pengguna di seluruh dunia termasuklah pelanggan BIBD ingin mempunyai kemudahan untuk membuat pembayaran secara online dengan menggunakan perbankan mudah alih atau persekitaran rangkaian sosial.”

Oleh itu, ujarnya, BIBD telah menyediakan perkhidmatan-perkhidmatan melalui Perbankan Internet, Perbankan Mudah Alih dan juga e-Tunai, pada masa yang sama para peniaga mencari pembaharuan inovasi yang akan dapat membantu mereka untuk berkembang seiring dengan perkembangan yang pesat.

Menjelaskan mengenai faedah dan kemudahan kad pembayaran tanpa sentuh ini, beliau berkata, ia memberikan lebih banyak Mata Hadiah kepada setiap pemegang kad dan ia turut memberikan mata ganjaran lebih bagi pelanggan yang membuat pembelian di luar negara termasuk e-Commerce.

Di samping membuat pembayaran tanpa sentuh, kad ini juga memberikan pelbagai diskaun-diskaun menarik sepanjang tahun serta tawaran eksklusif daripada pelbagai peniaga.

Manakala itu, pemegang kad Platinum juga akan dapat mendapat keahlian ‘Priority Pass’ secara percuma selama setahun di samping pelbagai perkhidmatan ‘Visa Concierge’ di mana sahaja dan bila-bila masa.

Beliau menjelaskan lagi bahawa kad ini disertakan dengan perlindungan takaful dan perkhidmatan kecemasan seluruh dunia yang disokong oleh Visa dan termasuk penggantian kad kecemasan dan perkhidmatan pembayaran tunai.

Kad ini juga terlindung daripada penggunaan tanpa kebenaran kerana ia dilengkapi dengan ‘3D Secure & Verified’ oleh Teknologi Visa.

“Kesemua perkhidmatan-perkhidmatan yang diperkenalkan ini merupakan usaha BIBD untuk menyediakan para pelanggan kami dengan perkhidmatan terbaik yang melengkapkan kehidupan mereka dan keperluan harian,” jelas Hajah Nurul Akmar.

ARTIKEL YANG SAMA